Infrasel turut mengaplikasikan BIM dalam kerjakerja pemulihan cerun di tapak operasi.
Sinar Harian
07 Jan 2025 11:46 am
Implementasi teknologi Building Information Modeling (BIM) yang digunakan oleh Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) merupakan langkah strategik dalam mendigitalisasikan operasi khususnya bagi kerja-kerja pemulihan cerun di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Selangor.
BIM merupakan teknologi moden dalam industri pembinaan yang digunakan dengan keupayaan menghasilkan impak positif dalam aspek pemulihan cerun.
BIM berupaya menghasilkan model 3D bagi memudahkan pemahaman visual, mempercepatkan koordinasi kerja dan mengoptimumkan reka bentuk yang lebih tepat.
Projek pemulihan cerun dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan
Infrasel berkata, bagi mengoptimumkan penggunaan teknologi moden ini, Infrasel turut mengaplikasikan BIM dalam kerja-kerja pemulihan cerun di tapak operasi.
Selain itu, pendekatan soil nailing dan fl exible facing juga merupakan kaedah utama pemulihan yang digunakan oleh Infrasel bagi projek pemulihan cerun di Jalan Genting Peras, Seksyen 32.460, Hulu Langat.
Projek yang bermula pada 22 Julai 2024 itu dijadualkan siap pada penghujung Disember 2024.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim mengadakan lawatan ke tapak projek pemulihan cerun di Jalan Genting Peras Seksyen 32.460, Hulu Langat untuk meninjau kemajuan kerja-kerja pembaikan cerun.
Namun, kecekapan Infrasel dalam mengendalikan projek ini dilihat sebagai satu hasil yang memberangsangkan apabila peratusan kemajuan projek menunjukkan peningkatan berbanding dengan tempoh yang telah dijadualkan.
Ketua Penyelaras Unit Cerun Infrasel, Ir Zainuddin Hussain berkata, projek pemulihan cerun di Jalan Genting Peras ini menelan biaya lebih daripada RM8.5 juta dan berjaya disiapkan dua minggu lebih awal daripada jangkaan tarikh yang telah ditetapkan.
Zainuddin (kiri) meninjau tapak cerun di Jalan Genting Peras Seksyen 32, Hulu Langat.
"Dua tapak operasi di Jalan Genting Peras yang diselenggara Infrasel ialah tapak 35.490 berjaya disiapkan pada 6 Disember lepas iaitu dua minggu awal daripada tarikh dijadualkan. Kerja-kerja di tapak 32.460 pula berjaya dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan," ujar Zainuddin.
Beliau berkata, projek pemulihan cerun yang diselenggara oleh Infrasel dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.
"Ia juga merupakan manifestasi komitmen terhadap Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (RSN) dalam merealisasikan pembangunan Selangor sebagai wilayah bandar yang maju, lestari dan makmur,” katanya.