Malaysia, Singapura buka semula perbincangan mengenai isu berlarutan - PM

Iklan
Anwar ketika sidang media di Kompleks Perdana Putra pada Selasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan Singapura akan membuka semula perbincangan mengenai isu-isu yang telah lama berlarutan seperti isu pembekalan air, persempadanan maritim dan ruang udara.

Beliau berkata, susulan langkah itu, pasukan teknikal akan membincangkan perkara-perkara berkenaan parameternya.

Iklan
Iklan

"Ini adalah isu-isu yang kompleks dan pendirian kami sudah tentu, seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri (Singapura), Lawrence Wong untuk menanganinya secara holistik, supaya kita dapat lihat beberapa perkara yang dituntut oleh Singapura dan yang dituntut Malaysia - harus dipertimbangkan sepenuhnya, dan penyelesaian muktamad harus menjadi keputusan menang-menang untuk semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Lawrence Wong selepas mesyuarat delegasi sempena Pemukiman Pemimpin Ke-11, di sini pada Selasa.

Iklan

Anwar berkata, eksport tenaga elektrik Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura turut dibincangkan dengan rakan sejawatannya itu.

Menurutnya, isu-isu yang berlarutan itu tidak seharusnya menjejaskan sikap dan kedudukan positif kedua-dua negara, sebaliknya kedua-dua negara perlu bekerjasama dalam perkara-perkara asas seperti ekonomi, tenaga, digital, pelaburan dan perdagangan.

"Rundingan ini telah berlangsung sejak beberapa dekad yang lepas. Jadi saya fikir kita tidak perlu menunggu beberapa dekad akan datang lagi untuk menyelesaikannya. Kita sentiasa boleh melakukannya, tidak semestinya dalam permukiman tahunan akan datang.

Iklan

"Kami bersetuju bahawa secara suku tahunan, kita perlu mengadakan satu bentuk mesyuarat singkat untuk mengkaji semula perkara ini, dan dengan cara ini, ia akan memaksa pasukan teknikal dan pakar kita untuk menanganinya dengan segera," katanya.

Anwar berkata, beliau dan Lawrence turut membincangkan isu Flight Information Region (FIR), mengiktiraf keperluan Malaysia dari segi perhubungannya dengan Sabah dan Sarawak, tetapi juga pada masa yang sama keperluan Singapura untuk memastikan prestasi dan aktiviti di Changi dan Selangor tidak terjejas dan akan dipermudahkan lagi.

Sementara itu, Lawrence berkata, isu-isu yang dibincangkan itu telah lama berlarutan dan bersifat amat kompleks, namun kedua-dua pihak akan terus membincangkannya secara holistik dan konstruktif dalam konteks keseluruhan perhubungan yang lebih luas.

"Isu-isunya ini amat kompleks. Kami telah mencapai sedikit kemajuan, tetapi masih memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikannya. Namun kami akan terus melibatkan diri dengan niat baik dan sebagai negara jiran yang baik, saya yakin dengan kerjasama, kita boleh membuahkan hasil berkekalan dalam semua isu-isu berkenaan, ini manfaat yang seimbang kepada kedua-dua belah pihak.

"Sejak lawatan pengenalan saya tahun lepas, saya dan Anwar telah meminta para pegawai kami untuk berbincang. Mereka telah berbuat demikian dalam semua isu ini.. mengenai sempadan maritim, pembekalan air dan ruang udara. Perbincangan yang baik.

"Beberapa kemajuan telah dicapai, tetapi kami belum bersedia untuk menyelesaikan kesemuanya lagi, kerana ia adalah kompleks. Walaupun kami mahu resolusi itu dipercepatkan, saya fikir penting juga untuk kita beri masa untuk para pegawai kita untuk bertemu, berbincang antara satu sama lain, memahami kedudukan masing-masing, dan membuat perjanjian dan keputusan yang berkekalan serta bermanfaat untuk kedua-dua pihak," katanya.

Lawrence berkata beliau dan Anwar komited sepenuhnya untuk mengadakan perbincangan dengan niat baik, serta secara konstruktif, dan semua isu berkenaan akan dibincangkan secara holistik untuk memastikan perkara-perkara yang belum selesai itu tidak menjejaskan hubungan Singapura-Malaysia.

"Itulah sebabnya kita masih boleh bergerak ke hadapan dalam projek menang-menang yang positif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura. Kami tidak mahu isu-isu ini, walaupun mungkin terdapat perbezaan pandangan, kita tidak mahu ia menjejaskan projek positif yang boleh kita lakukan bersama," katanya.

Terdahulu, Lawrence yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, menghadiri majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra dan majlis makan tengah hari yang dihoskan Anwar. - Bernama