[VIDEO] Sekolah terbakar: 32 murid akan jalani PdPR

Iklan

BERUAS - Kesemua 32 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Ayer Tawar di sini, yang terjejas dalam insiden kebakaran pada Isnin akan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi penggal akhir sesi Tahun 2024.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, seramai 13 guru akan kendalikan pelaksanaan PdPR bagi sesi persekolahan yang berbaki lapan hari lagi.

Iklan
Iklan
Sivanesan (tengah) mendengar penerangan daripada Pegawai Pendidikan Daerah Manjung, Musa Hamid (kanan) ketika melawat SJKT Ladang Ayer Tawar yang terlibat kebakaran.

"Hari ini kesemua murid terima cuti tetapi keesokkan harinya (Rabu) semua pelajar akan menjalani sesi pembelajaran di rumah.

"Guru-guru akan menyediakan bahan pembelajaran manakala ibu bapa akan ambil bahan tersebut sehinggalah 17 Januari depan," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Jason Ng Thien Yeong dan ADUN Pantai Remis, Wong May Ing.

Menurut Sivanesan, beliau yakin murid-murid terlibat akan menjalani sesi persekolahan Tahun 2025 di bangunan baharu yang menempatkan tiga bilik darjah, bilik guru, pejabat guru besar dan perpustakaan.

Iklan
Sivanesan melawat sebahagian bangunan yang terjejas dalam insiden kebakaran di SJKT Ladang Ayer Tawar pada Selasa.

Tambah beliau, bangunan terbabit telah siap pada pertengahan Tahun 2023 dan mereka hanya menunggu sijil layak menduduki (CF) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Perkara ini telah mendapatkan perhatian Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri. Saya akan berbincang dengan pihak PBT untuk percepatkan kelulusan CF bangunan ini.

"Kita akan berusaha dan saya yakin bagi sesi persekolahan baharu kelak, murid sekolah ini akan belajar di kelas baharu," katanya.

Pada masa sama, Koo Ham berkata, kesemua murid sekolah itu bakal menerima bantuan tambahan khas RM200 daripadanya selain bantuan awal persekolahan RM150 bagi membeli peralatan persekolahan yang terbakar dalam kejadian itu.

Tiga bilik darjah, sebuah makmal sains, stor peralatan dan kantin di SJKT Ladang Ayer Tawar musnah dalam insiden kebakaran pada Isnin.

Media melaporkan bangunan sekolah yang berusia 87 tahun itu musnah hampir 70 peratus dalam kebakaran dalam kejadian itu.

Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar jam 11.52 pagi melibatkan tiga bilik darjah, sebuah makmal sains, stor peralatan dan kantin.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa membabitkan guru, murid atau petugas sekolah selepas masing-masing berjaya menyelamatkan diri.