Yusoff Rawther kemuka representasi gugur tuduhan edar dadah, bicara April

Iklan
Yusoff Rawther kemuka representasi kepada Peguam Negara bagi menggugurkan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram yang dihadapinya.

KUALA LUMPUR - Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik Muhammed Yusoff Rawther telah mengemukakan representasi kepada Peguam Negara (AG) bagi menggugurkan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa representasi bertarikh 2 Januari lepas telah diterima oleh pihak pendakwaan.

Iklan
Iklan

"Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes dan pihak kami baru menerima representasi tersebut daripada peguam. Oleh itu, kami mohon satu tarikh bagi mendapatkan keputusan representasi berkenaan," katanya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff, 32, mengesahkan perkara itu dan memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

Iklan

Muhammad Jamil kemudian menetapkan lima hari untuk perbicaraan kes bermula 7 hingga 11 April ini.

Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Iklan

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Muhammed Yusoff juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama