SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk menyediakan modul latihan lebih terperinci bagi meningkatkan kompetensi melalui Kod Amalan Keselamatan Industri yang relevan.
Menerusi satu kenyataan, agensi peneraju dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan itu berkata, modul ini mampu melatih operator kenderaan berat dengan kemahiran yang diperlukan bagi mengendalikan kenderaan masing-masing dengan selamat dan cekap.
Penambahbaikan ini katanya, secara tidak langsung dapat mengurangkan insiden akibat kecuaian manusia kerana dilengkapi kemahiran bersesuaian.
"NIOSH menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengenai penubuhan pasukan khas untuk menangani isu keselamatan kenderaan berat. Inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta standard tertinggi dalam sektor pengangkutan.
"Kenderaan berat memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, namun aspek keselamatan dan operasinya perlu ditambah baik bagi mengurangkan risiko terhadap pemandu, penumpang dan orang ramai.
"Pendekatan holistik yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan ini amat penting termasuk melibatkan pihak berkepentingan, menyemak semula undang-undang yang kritikal, serta menangani isu berlarutan seperti muatan berlebihan dan kekurangan penyelenggaraan kenderaan," kata agensi itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
NIOSH dalam masa sama turut menyokong langkah kementerian berkenaan untuk meningkatkan pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan penguatkuasaan seperti sistem Speed-Violation-in-Motion.
Ujarnya, tindakan ini penting bagi memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan kritikal seperti tayar, brek dan komponen penting lain yang mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
"Muatan berlebihan adalah isu yang berterusan dan mengancam keselamatan jalan raya serta mempercepatkan kerosakan infrastruktur. Sehubungan itu, NIOSH menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mengenakan penalti lebih berat terhadap kesalahan ini serta melaksanakan pendekatan tanggungjawab bersama antara pengirim, pengangkut dan pengendali.
"NIOSH ingin menekankan keperluan menyelaraskan usaha ini dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang menuntut tanggungjawab pihak majikan untuk memastikan keselamatan pekerja," katanya.
Kenyataan itu menambah, dengan mengintegrasikan prinsip akta berkenaan ke dalam usaha pasukan khas, keselamatan pekerja dan pengguna jalan raya dapat ditingkatkan melalui budaya tanggungjawab bersama.