Bekas pelumba negara terima kerusi roda, RM300 sebulan

Iklan
Noorul Ariffin (berdiri, dua dari kanan) menyerahkan kerusi roda untuk digunakan oleh Muhamad Zamri (duduk) sambil diperhatikan oleh Fazlina (berdiri, dua dari kiri).

KLANG - Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menyalurkan bantuan kewangan RM300 setiap bulan dan kerusi roda kepada bekas pelumba negara, Muhamad Zamri Baba.

Beliau mengalami kecederaan selepas terbabit dengan kemalangan ngeri ketika perlumbaan pusingan dua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Sentul, Indonesia pada Jun 2015.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, bantuan kewangan selama enam bulan itu diberikan untuk memudahkan urusan Muhamad Zamri mendapatkan rawatan susulan.

Iklan
Iklan
Noorul Ariffin

"Elaun sara diri akan mula diberi pada bulan ini untuk enam bulan dan kebiasaannya kita akan sambung semula, lebih-lebih lagi dengan keadaan Muhamad Zamri yang memerlukan rawatan berpanjangan.

"Saya juga ambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang turut membantu dari segi lampin pakai buang dan ubat-ubatan. Kami harap LZS dapat berikan beliau sedikit bantuan wang tunai untuk menjalani kehidupan.

Iklan

"Kami juga cuba mendapatkan bantuan dari agensi lain dan saya sudah menghubungi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), tetapi malangnya di hospital itu tiada pakar psikiatri jadi perlu hantar beliau ke Hospital Shah Alam untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di rumah Muhamad Zamri di sini pada Selasa.

Muhamad Zamri pernah mencipta nama dua kali apabila beraksi menerusi tiket wildcard di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Malaysia dan tampil pada musim penuh di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Iklan

Kehidupan bekas pelumba berusia 42 tahun itu berubah 360 darjah selepas terbabit dengan kemalangan ngeri ketika perlumbaan pusingan dua ARRC di Litar Sentul, Indonesia pada Jun 2015.

Akibat kemalangan itu, beliau koma dan mengalami kecederaan tulang belakang, saraf otak dan hilang daya ingatan.

Sementara itu, isteri Muhamad Zamri iaitu Fazlina Ahmad Fauzy, 42, berkata, beliau memperuntukkan lebih RM1,000 sebulan bagi keperluan penjagaan dan rawatan Muhamad Zamri yang meliputi ubat-ubatan, lampin pakai buang, alas cadar dan sebagainya.

Fazlina

"Buat masa sekarang saya memerlukan kerusi roda dan pihak Yakeb beritahu boleh beri cuma tak tahu secepat ini boleh dapat. Saya baru bertanyakan hal ini pada bulan lepas (Disember 2024).

"Alhamdulillah, anak saya pun seronok kerana selepas kemalangan, suami hanya guna satu kerusi roda yang 10 tahun lepas. Dia memang tak boleh jalan, hanya mengesot,” ujarnya.

Tambah Fazlina, beliau masih setia menjaga Muhamad Zamri dan mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga untuk mencari rezeki bagi menampung kehidupan mereka berdua bersama dua anak, Muhammad Haiqal, 15, dan Muhammad Farish, 11.

"Waktu mula-mula suami kemalangan, saya ibarat patah sebelah kaki juga kerana tidak bekerja. Sekarang saya uruskan kedai makan sahaja untuk menampung keperluan anak-anak dan suami.

"Dahulu Zamri perlukan pemantauan 24 jam tetapi sekarang saya dah boleh kerja dan akan menjaganya bergilir-gilir," katanya.