Polis langgar pelajar: Terima arahan tuduh ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Iklan
Mohd Nazri diiringi polis dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh bagi prosiding perbicaraan kes yang masuk hari ke 19 pada Selasa.

IPOH - Seorang pegawai penyiasat polis memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa bahawa beliau menerima arahan agar Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 46, dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dalam kes perlanggaran, dua tahun lalu.

Asisten Superintendan Chua Sze Yuan, 38, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berkata, arahan itu diterima pada sebelah malam 17 Disember 2023 selepas kertas siasatan dikemukakan untuk taklimat awal kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Iklan
Iklan

"Pada hari berikutnya iaitu 18 Disember 2023, selepas arahan tuduh diterima, saya menguruskan untuk proses pertuduhan di mahkamah.

"Pertuduhan dibuat di Mahkamah Majistret 2 Ipoh. Sebelum dituduh, saya telah arahkan jurugambar untuk mengambil gambar dan cap jari (tertuduh)," katanya ketika membacakan pernyataan bertulisnya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet dalam prosiding perbicaraan hari ke-19 di sini.

Iklan

Mohd Nazri hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa bagi prosiding perbicaraan kes bunuh membabitkan pelajar Tingkatan Lima, dua tahun lalu.

Saksi pendakwaan ke-32 itu berkata, beliau telah mengambil alih siasatan pelanggaran tersebut daripada Inspektor Jong Pit Chao pada 16 Disember iaitu sehari selepas kejadian berlaku.

Iklan

Katanya, sebelum mengambil alih, beliau turut membantu pegawai wanita tersebut mengambil rakaman percakapan saksi-saksi dan merakam percakapan tangkapan iaitu Mohd Nazri.

Dalam prosiding ini, Sze Yuan juga mengesahkan bahawa menerima beberapa barang kes berkaitan kejadian perlanggaran itu daripada Pit Cha seperti rakaman video kamera litar tertutup dan kamera papan kemuka kenderaan, pakaian mangsa, laporan polis dan kimia berhubung kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala Mohd Nazri diwakili peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman serta peguam pemerhati Syaheera Rosli.

Prosiding perbicaraan disambung pada Khamis.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan.