Rentas sempadan guna laluan haram: Tiga rakyat Malaysia didenda

Iklan
Mahkamah Majistret di sini hari ini mendenda tiga warga tempatan RM4,000 setiap seorang, selepas mereka mengaku bersalah memasuki Malaysia dari Thailand melalui laluan haram pada 3 Januari lepas - Gambar hiasan

PASIR MAS - Mahkamah Majistret di sini hari ini mendenda tiga warga tempatan RM4,000 setiap seorang, selepas mereka mengaku bersalah memasuki Malaysia dari Thailand melalui laluan haram pada 3 Januari lepas.

Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani juga memerintahkan Lim Wu Han, 34, serta pasangan suami isteri Rajmidi Sahli, 50, dan Nursyuhada Abdullah, 29, dipenjarakan sebulan, jika gagal membayar denda itu.

Iklan
Iklan

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.30 tengah hari, 3 Januari lepas di tebing sungai Pengkalan Haram Jambu, Rantau Panjang di sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, perbuatan mereka yang merupakan penumpang bot tambang dari negara jiran, disedari anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membuat pemantauan dan pemerhatian di lokasi kejadian.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, untuk menggunakan laluan dibenarkan selepas ini.

Iklan

Bagaimanapun peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nabila Mohd Noordin yang mewakili semua tertuduh merayu mereka dikenakan hukuman paling minimum kerana Wu Han bekerja sebagai pembantu kedai, manakala Rajmidi sebagai penyelia tapak dan Nursyuhada merupakan suri rumah. - Bernama