Pihak abai Titah Adendum dianggap derhaka - Abdul Hadi

Iklan
Abdul Hadi.

SHAH ALAM - Tindakan pihak yang mengabaikan Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap derhaka kepada Institusi Raja-Raja Melayu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara yang terjadi kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu diibaratkan seperti pendekatan pada zaman penjajah dahulu.

Iklan
Iklan

"Islam meletakkan konsep Raja Berperlembagaan sebenar dengan memberi kuasa mentadbir negara dengan petunjuk agama yang sebenarnya berdaulat.

"Kita menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mula berkuasa dengan slogan perintah raja-raja untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan, selepas itu, ditopengkan raja menjadi alasan kepada setiap teguran dan kritikan pihak pembangkang yang dikatakan kononnya menentang raja.

Iklan

"Pakatan yang menjunjung kasih atau menderhaka titah, tepuk dada tanya iman,” katanya menerusi ‘Minda Presiden Pas’ di Facebook beliau pada Selasa.

Sebelum ini, pihak pembelaan Najib memberitahu Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Isnin, bahawa anak sulung Najib, Muhammad Nizar mengesahkan wujudnya Titah Adendum daripada Istana Pahang.

Iklan

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika membaca perintah tersebut di hadapan panel tiga hakim, yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong ke-16 membenarkan anak guamnya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mendakwa, kerajaan menyembunyikan kesalahan lebih besar daripada kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dilakukan oleh beberapa tokoh.

"Adapun kesalahan sendiri yang lebih besar daripada 1MDB berlipat kali ganda oleh beberapa tokohnya pula ditutup dan disembunyikan di bawah karpet atau hanya bertindak separuh jalan sahaja.

"Ia termasuk janji bohong dan menipu dalam masa Pilihan Raya Umum (PRU) serta selepas menjadi kerajaan. Semuanya ditipu oleh mereka, tidak kira rakyat mahupun raja,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, konsep kehakiman Islam menggalakkan agar diberikan pengampunan dan penyelesaian yang meringankan terhadap golongan bersalah apatah lagi mereka tidak bersalah serta belum dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

Jelas Abdul Hadi, Islam menggalakkan sistem guaman yang dinamakan wakalah bagi membantu mereka bersalah dan golongan tidak bersalah.