HULU SELANGOR - Seorang lelaki maut manakala anaknya berusia tujuh tahun cedera selepas motosikal dinaiki bertembung motosikal lain di persimpangan Taman Kemboja di Jalan Persiaran Tasik Teratai di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, dalam kejadian jam 8.50 malam, mangsa bersama anak lelakinya dalam perjalanan dari rumah mereka di Bukit Beruntung menuju ke arah Bukit Sentosa.
"Setibanya di tempat kejadian, dua beranak yang menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC kemudian bertembung motosikal jenis Modenas dinaiki dua remaja lelaki berusia 14 tahun dipercayai cuba melintas ke Taman Kemboja.
"Akibat kemalangan itu, mangsa berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya cedera," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Faizal berkata, anak lelakinya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan manakala mayat mangsa dihantar ke unit forensik hospital sama untuk bedah siasat.
"Penunggang motosikal Modenas pula dirawat di Hospital Selayang akibat cedera pada muka dan patah kaki.
"Manakala pembonceng motosikal cedera di kaki kanan dan dirawat di Hospital Kuala Kubu Bharu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.