KUALA LUMPUR - Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) memohon Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa berkata, ia bagi membincangkan tindakan khusus kepada pimpinan negara sekiranya mereka terlibat.
"Kita bersepakat memohon kepada Majlis Raja-Raja supaya mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tindakan, khusus kepada Perdana Menteri dan seluruh kabinet yang dilantik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas berkaitan Titah Adendum dan Keputusan Mahkamah Rayuan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini pada Selasa.
Hadir sama, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Zaid Ibrahim; Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali; Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam, Zainol Talib; Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah dan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Elad.
Mengulas lanjut, Mohd Zai turut mempersoalkan kewujudan sebarang konspirasi dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
Katanya, jika ada campur tangan pimpinan negara, ia satu perbuatan yang boleh didakwa sebagai jenayah ‘derhaka’ kepada YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu kerana melanggar sumpah jawatan.
"Kami juga mendesak satu jawatan kuasa khas Parlimen ditubuhkan di bawah Raja-Raja Melayu bagi mengambil tindakan yang segera mengenai kedudukan Perdana Menteri ke-10,” ujarnya.
Pada Isnin, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum, Januari tahun lalu.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan YDPA ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.