SEPANG - Pengenalan sistem kod respons pantas (QR) menerusi aplikasi MyBorderPass untuk rakyat Malaysia menawarkan proses pelepasan imigresen antara lima hingga tujuh saat dengan ciri keselamatan tahap tinggi.
Penggunaan kod QR bagi proses pelepasan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 di sini yang kini dalam tempoh percubaan menerima sambutan menggalakkan daripada penggembara Malaysia termasuk kru penerbangan.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati ramai rakyat Malaysia telah memuat turun aplikasi berkenaan dan menggunakan sistem QR bagi proses pelepasan imigresen sewaktu berlepas dan tiba di negara ini.
Pengerusi Airlines Operator Committee (AOC), Mohamad Azri Mohammad Rashad ketika ditemui berkata, penggunaan kod QR akan mempercepat proses pelepasan imigresen terutama pada waktu puncak.
"Penggunaan kod QR bukan sahaja mempercepat proses kepada penumpang tetapi juga anak-anak kapal warga Malaysia.
"Ia memudahkan warga Malaysia terutama mereka yang mempunyai penerbangan sambungan,” katanya yang telah mengusulkan supaya kru penerbangan memuat turun aplikasi MyBorderPass untuk menggunakan kod QR.
Kru kabin Batik Air, Mohd Syukur Ab Wahab berkata, penggunaan kod QR menerusi aplikasi MyBorderPass memudahkannya kerana prosesnya yang cepat.
"Mudah dan dapat keluar dari pelepasan imigresen dengan cepat, kru biasanya penat bekerja kerana penerbangan agak lama.
"Bila ada sistem ini ia lebih efektif selain tidak perlu beratur panjang,” katanya yang baru pulang dari Uzbekistan.
Nurul Syakirah Ramli, 26, yang ingin bercuti di Tokyo, Jepun pula teruja menggunakan kod QR kerana prosesnya yang cepat serta mesra pengguna.
"Aplikasi MyBorderPass yang baharu ini memang mudah sebab tidak perlu beratur panjang, hanya buka QR di telefon bimbit dan imbas pada mesin,” katanya.
Bagi Adam Danial Mohd Ali Hanafiah, 20, penggunaan kod QR dalam aplikasi MyBorderPass menawarkan kepantasan semasa proses pelepasan imigresen berbanding sistem pintu automatik (autogate).
"Penggunaan kod QR sangat efisien kerana mempercepat masa pengguna kerana kita tidak beratur lama,” katanya yang turut ke Jepun untuk bercuti.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan kod QR khusus untuk rakyat Malaysia bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas di KLIA Terminal 1 dan 2.
Beliau berkata, penggunaan kod QR di kawasan ketibaan serta pelepasan KLIA Terminal 1 dan 2 itu merupakan langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.
Antara kelebihan penggunaan kod QR ialah tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional. - Bernama