MELAKA - Kerajaan negeri mengingatkan kepada peniaga dan penjaja makanan terutama di kawasan pelancongan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga melampau dalam suasana tahun baharu.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin berkata, beliau bimbang situasi itu akan menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri ini sekali gus menyebabkan pendapatan mereka terkesan.
Menurutnya, pada awal tahun baharu ini beliau menerima aduan berhubung kes kenaikan harga makanan khususnya di bazar-bazar pelancong termasuklah di Jonker Walk.
"Memang kita ada terima aduan terdapat penjaja yang jual (makanan) terlampau mahal sedangkan harga bahan asas itu merupakan barang kawalan dan masih ada untung jika dijual pada kadar berpatutan," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang berkata, segelintir peniaga menjadikan beberapa alasan untuk menaikkan harga antaranya kesan peningkatan gaji penjawat awam bermula pada 1 Disember lalu.
"Malah ada juga memberi alasan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari depan.
"Saya percaya sekiranya peniaga boleh toleransi dengan mengenakan harga berpatutan sudah pasti negeri ini akan terus dikunjungi pelancong tidak kira dalam dan luar negara," katanya lagi.