Jun Hao kandas awal Terbuka Malaysia

Iklan
Jun Hao kalah kepada pemain China dalam saingan awal Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa. Foto Bernama

IMPIAN pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk melakar kejutan melangkah jauh pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Bukit Jalil tidak kesampaian.

Ia setelah pemain berusia 26 tahun itu terpaksa akur tewas kepada jaguh China, Lu Guang Zu pada pusingan pertama di Axiata Arena sebentar tadi.

Iklan
Iklan

Pujian bagaimanapun wajar diberikan kepada Jun Hao yang memberi tentangan sengit kepada Guang Zu sehingga mengheret permainan ke set penentuan.

Keputusan tersebut juga memanjangkan lagi kemarau penantian gelaran acara perseorangan lelaki Terbuka Malaysia yang kali terakhir dimenangi wakil negara menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2018.

Iklan

Jun Hao mengakui sudah memberikan segalanya ketika berdepan Guang Zu yang berstatus ke-16 dunia, namun pengalaman memihak pemain lawan.

"Berasa kecewa dan aksi memang sengit. Saya sudah keluarkan apa yang ada. Lawan lebih berpengalaman dan ketika mata kritikal dia lebih baik serta positif," katanya.

Iklan

Dalam aksi itu, Jun Hao yang menghuni ranking ke-29 dunia berdepan Guang Zu buat kali pertama tewas pada set pertama 17-21, namun bangkit 21-16 untuk membawa pertarungan ke perlawanan penentuan.

Bagaimanapun pengalaman menjadi pemisah apabila Guang Zu menoktahkan kemenangan 21-13 dalam tempoh 80 minit permainan.

"Saya kalah kali ini dan perlu perbaiki lagi kelemahan. Banyak saya belajar hari ini (Selasa) dan akan bawa (pengajaran) ke depan (kejohanan akan datang)," katanya.

Selepas ini Jun Hao yang baru beberapa hari mendapat sentuhan Kenneth Jonassen akan membawa cabaran negara pada Terbuka India bermula 14 hingga 19 Januari.

Menyentuh bimbingan jurulatih dari Denmark itu, beliau berkata akan cuba menyerap corak permainan yang diterapkan dengan sebaik mungkin.

"Jurulatih dari Eropah sudah pasti ada strategi baharu," ujar Jun Hao.