Penyertaan pertandingan video pendek HARA dilanjut sehingga 31 Januari

Iklan
Pertandingan video pendek sempena sambutan HARA #RasuahBusters 2024 ditangguhkan sehingga 31 Januari 2025.

SHAH ALAM - Tempoh penyertaan bagi pertandingan video pendek sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) #RasuahBusters 2024 yang sepatutnya tamat pada Jumaat ini dilanjutkan sehingga 31 Januari ini.

Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram), Profesor Dr Hanim Salleh berkata, pertandingan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta dan pihaknya mahu menggalakkan lebih ramai menyertainya.

Iklan
Iklan
Hanim

"Setakat ini sudah ada lebih 30 penyertaan. Kita juga mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak untuk memanjangkan tempoh pertandingan supaya lebih banyak penyertaan.

"Kalau boleh pertandingan ini kita mahu perluaskan kerana peserta berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM17,000,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Hanim mengharapkan lebih ramai peserta kerana menerusi pertandingan tersebut, video yang dihasilkan boleh mempromosikan isu antirasuah dan integriti.

Jelasnya, terdapat empat kategori bagi pertandingan menerusi platform TikTok itu iaitu pelajar atau guru sekolah, penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta, sektor awam dan umum.

Iklan

"Objektif utama kita adalah menjadikan video-video yang dihasilkan sebagai bahan advokasi kepada masyarakat untuk memberikan pendedahan baik kepada peserta dan penonton yang melihatnya.

"Kita juga mahu memberikan peluang kepada peserta mengambil contoh yang sedang berlaku di sekeliling dan memberikan pendidikan kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Tambah beliau, selari dengan tema ‘Malaysia Bangkit Perangi Rasuah’, penghapusan jenayah itu memerlukan kerjasama dan peranan seluruh rakyat Malaysia untuk mencegah, agar ia menjadi sesuatu yang janggal atau pelik untuk dilakukan.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan berkata, pertandingan video pendek tersebut boleh membina budaya berintegriti dan secara tidak langsung menonjolkan bakat serta menjadi sebahagian daripada perubahan positif untuk negara.

"Dengan video tersebut kita boleh saksikan realiti yang boleh dikaitkan secara terus dengan kehidupan seharian. Jadi saya harap melalui video pertandingan itu nanti, kita dapat mempermudah isu yang kompleks supaya lebih mudah difahami dan dapat diamalkan,” katanya.