EMPAT kejohanan besar iaitu Kejohanan Lumba Basikal Asia 2025 (ACC 2025) dan Kejohanan Piala Presiden GP Trek ASEAN 2025 Siri 1 2 & 3 – bakal menjadi medan terbaik buat pelumba negara memburu mata ditawarkan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh percaya ACC 2025 yang bakal diadakan pada 21 hingga 27 Februari dan Kejohanan Piala Presiden GP Trek ASEAN 2025 Siri 1 2 & 3 (13 hingga 20 Januari), menjanjikan laluan mudah buat pelumba negara mengumpul mata UCI.
"Empat kejohanan besar ini akan diadakan di Velodrom Kebangsaan Nilai (Negeri Sembilan). Saya pasti mereka sudah tahu selok belok berlumba di tempat sendiri. Apatah lagi mereka juga akan mendapat sokongan penonton tempatan.
"Jadi, saya harap pelumba negara akan jadikan empat kejohanan ini sebagai medan terbaik untuk mengumpul mata yang ditawarkan UCI,” katanya pada Selasa.
Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI berharap pelumba seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izati Mohd Asri boleh menepati ramalan yang disasarkan terhadap mereka.
"Saya percaya Shah dan Izzati tahu apa yang perlu dilakukan sepanjang empat kejohanan besar ini. Mereka sudah bertaraf dunia dan memiliki pengalaman luas berlumba di peringkat antarabangsa.
"Biarpun Sukan Olimpik 2028 (di Los Angeles Amerika Syarikat) masih jauh, namun saya harap mereka boleh kekalkan momentum kejayaan daripada awal 2025. Saya pasti dua pelumba ini tahu apa yang diharapkan daripada mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) percaya pelumba Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan, Hong Kong dan Iran boleh menjadi batu penghalang buat kem negara pada ACC 2025.
Sebagai rekod, legenda trek dunia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang membolot dua pingat emas acara keirin dan sprint pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2023 (ACC 2023).
Bagaimanapun, pelumba yang bergelar The Pocket Rocketman itu dijangka tidak mengambil bahagian pada ACC 2025 kali ini kerana beri tumpuan menghabiskan pelajaran dia.
Amarjit yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) berkata pencapaian pelumba Malaysia di ACC 2025 dan Kejohanan Piala Presiden GP Trek ASEAN 2025 Siri 1 2 & 3, boleh menjadi kayu pengukur menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.
"Seperti yang kita maklum, trek akan dipertandingkan di Sukan Sea 2025 di Bangkok. Saya berharap kita boleh bolot semua pingat yang dipertandingkan di Bangkok nanti. Saya tahu perkara ini boleh direalitikan jika kita bekerja keras ke arah itu,” katanya.