Bekas pramugara, dua rakan dijel seumur hidup, 18 sebat edar, tanam ganja

Iklan
Seorang bekas pramugara dan dua rakannya dihukum penjara seumur hidup dan 18 sebatan selepas didapati bersalah mengedar dan menanam ganja empat tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang bekas pramugara dan dua rakannya mengedar dan menanam dadah jenis ganja empat tahun lalu mengundang padah apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menjatuhi mereka hukuman penjara seumur hidup dan 18 sebatan.

Bekas pramugara, K Karthik, 40; bekas pengurus kilang, C Praveen, 35, dan bekas jurujual, Muhammad Afiq Mohd Ali, 26, dikenakan hukuman itu selepas Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan mereka.

Iklan
Iklan

Ketika memutuskan demikian, hakim berkata, setiap tertuduh dikenakan hukuman jel seumur hidup dan 12 sebatan bagi pertuduhan pertama sementara penjara tempoh sama dengan enam sebatan bagi kes kedua.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Disember 2021.

Iklan

Seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada September 2023 dengan ketiga-tiga tertuduh menjadi saksi pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tiga lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 707.05 gram di sebuah unit kondominium di Jalan Pantai Murni 7, Pantai Sentral di Brickfields di sini, pada jam 10 pagi, 14 Disember 2021.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B (2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama menanam pokok kanabis di lokasi, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang enam sebatan.