Misi bantuan Malaysia Aid 2 Syria MCM sasar kutipan sumbangan RM1 juta

Iklan
DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRY (dua dari kanan) selepas melakukan gimik pelancaran Malaysia Aid 2 Syria di Rawang baru-baru ini.

MUSLIM CARE MALAYSIA (MCM) menyasarkan kutipan sumbangan RM1 juta daripada orang ramai untuk menjayakan misi bantuan Malaysia Aid 2 Syria bermula 21 Januari hingga 2 Februari depan.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, bantuan daripada rakyat Malaysia itu akan dibahagikan kepada dua fasa iaitu jangka pendek dan jangka panjang di empat lokasi berbeza iaitu Damsyik, Aleppo, Homs dan Hama.

Iklan
Iklan

"Bagi bantuan jangka panjang, kita akan memberi tumpuan kepada bantuan dalam bidang pendidikan kerana tidak ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan kepada bidang pendidikan,” katanya pada Majlis Pelancaran Malaysia Aid 2 Syria di Rawang baru-baru ini.

ZULKIFLI ketika menyampaikan ucapan.

Iklan

Majlis dirasmikan Penasihat MCM Datuk Seri Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah dan Ketua Pegawai Operasi Muslim Volunteer Malaysia (MVM).

Tambah Zulkifli, sejak pertama kali memasuki Syria, pihaknya telah merancang untuk membangunkan sekolah bagi rakyat Syria dan hasilnya sekolah pertama berjaya didirikan pada 2013.

Iklan

"Sehingga kini, sebanyak 13 buah sekolah berjaya didirikan dan sebahagian mereka juga ada yang menyambung pengajian ke universiti di Turkiye selepas tamat persekolahan.

Menurutnya, kira-kira 20 orang akan menyertai misi bantuan ini terdiri MCM dan rakan strategik mereka termasuk dari MVM, Kumpulan Richiamo Coffee, Maktabah Al-Bakri, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Zahafiz Travel & Tours.

SEBAHAGIAN sukarelawan yang hadir ke Majlis Pelancaran Malaysia Aid 2 Syria anjuran MCM di Rawang baru-baru ini.

"Kita juga mungkin akan membina rumah kepada rakyat Syria yang terkesan kerana kebanyakan mereka sudah tidak mempunyai rumah selepas menjadi pelarian.

"Selepas berakhir era pemerintahan Bashar, rakyat Syria bersemangat untuk memulakan kehidupan baru dan kira-kira sejuta rakyat menjadi pelarian sudah pulang semula ke Syria.

"Bagaimanapun mengisi kebebasan dan kemerdekaan bukan perkara mudah dan mereka terpaksa bermula daripada kosong untuk membina kehidupan baru,” jelasnya.

Jelasnya lagi, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian, Filippo Grandi berkata, keadaan material di dalam Syria sangat teruk dan banyak bantuan kemanusiaan serta pemulihan perlu disalurkan.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun Maybank Muslim Care Malaysia 5644 9041 3882 dengan rujukan Aid2Syria.