BAGAN DATUK - Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan dan pemalsuan pelekat electronic fire extinguisher inspection system (eFEiS) dengan menahan 10 suspek dalam serbuan di Bagan Datuk dan Cheras, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kegiatan itu dikesan selepas polis menerima laporan berhubung tindakan dua lelaki menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dengan harga RM100 bagi setiap alat pemadam api pada 31 Disember lalu.
"Bagaimanapun, pemeriksaan yang dijalankan pihak bomba mendapati pelekat eFEIS pada alat tersebut pada alat tersebut adalah palsu dan tiada dalam rekod sistem tersebut.
"Semakan juga mendapati syarikat tersebut tidak dilantik dan berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk kerja-kerja penyelenggaraan alat pemadam api," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, hasil maklumat membawa serbuan di empat lokasi berasingan di Bagan Datuk dan Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu hingga Ahad lalu dengan menahan suspek termasuk seorang wanita.
"Kesemua berusia antara 21 hingga 35 tahun itu ditangkap kerana disyaki terlibat dalam sindiket tersebut dan merampas 89 alat pemadam api, empat telefon bimbit, tujuh pelekat eFEIS, tiga kereta dan dua sijil kontraktor palsu.
"Ahli sindiket yang ditangkap berperanan sebagai pekerja yang ditugaskan mencari pelanggan di premis-premis perniagaan dan menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan alat pemadam api, memperbaharui pelekat eFEIS serta membekalkan pelekat palsu," katanya.
Zulkafli berkata, sindiket terbabit dipercayai bergiat aktif menawarkan perkhidmatan yang tidak wujud di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
"Setakat ini, sebanyak enam laporan polis dibuat oleh mangsa di Bagan Datuk dan Kampar membabitkan kerugian berjumlah RM89,000.
"Kesemua suspek direman sehingga Selasa untuk disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.