TELUK INTAN - Polis menahan tiga lelaki dan merampas dua kilogram dadah bernilai lebih RM65,000 dalam serbuan di tempat parkir sebuah pasar raya di sini pada Sabtu.
Kesemua suspek berusia 26 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sekitar jam 2.20 petang.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Toyota dinaiki suspek telah menemui dua bungkusan plastik berlabel 'Guanyunwang' disyaki mengandungi dadah jenis syabu.
"Bungkusan dadah dianggarkan seberat 1,918 gram itu diletakkan di atas kerusi penumpang belakang kereta berkenaan.
"Semua bekalan dadah yang dirampas itu disyaki bagi tujuan edaran di kawasan Teluk Intan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan awal mengesahkan, semua suspek yang merupakan rakan itu mengaku terlibat dalam aktiviti pengedaran tersebut.
Katanya, kesemua mereka yang berasal dari utara negeri difahamkan baru pertama kali mendapat permintaan menjual bekalan dadah kepada pembeli di Teluk Intan.
"Ujian air kencing mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Semakan rekod pula mendapati, semua suspek memiliki masing-masing empat ke 12 kesalahan lampau termasuk dadah," katanya.
Ahmad Adnan berkata, polis telah mendapatkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 13 Januari depan ke atas suspek bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.