Ahmad Zahid dibenar mulakan prosiding komital terhadap Tun Mahathir

Iklan
Mahkamah Tinggi di sini di sini pada Selasa, membenarkan permohonan Ahmad Zahid (kiri) untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr Mahathir.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini di sini pada Selasa, membenarkan permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia berhubung kenyataan Dr Mahathir di sidang akhbar pada 5 Disember tahun lalu di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Selepas prosiding kes samannya terhadap Ahmad Zahid berhubung isu ‘kutty’, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalannya.

Sementara itu, peguam, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid berkata, mahkamah membenarkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk memulakan prosiding komital atau menghina mahkamah.

Iklan

"Pada prosiding dalam kamar, Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong membenarkan anak guam untuk memulakan prosiding komital selepas mendengar permohonan ex-parte atau sebelah pihak,” katanya ketika dihubungi media.

Pada 5 Disember tahun lepas, Dr Mahathir selaku plaintif selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu sementara anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai saksi terakhir plaintif pada 9 Disember tahun sama.

Iklan

Presiden UMNO ini pula dijangka memberi keterangan sebagai saksi defendan pada 14 Mei depan.

Pada 5 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan, Dr Mahathir menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan lama miliknya, isteri dan empat anak berserta surat beranak asal bagi membuktikan nama sebenar mereka.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, semua salinan kad pengenalan berkenaan diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir yang menyambut usia 99 tahun pada 10 Julai tahun lalu, memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 72, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah, dan berniat jahat yang secara langsung merujuk kepada dirinya.

Kenyataan itu dibuat ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir percaya bahawa individu dirujuk dalam kenyataan fitnah tersebut sebagai ‘orang itu’, ‘dia’, dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepada dirinya.

Beliau mendakwa, kenyataan Ahmad Zahid yang berniat jahat itu menyebabkan beliau terdedah kepada kebencian masyarakat, selain menjejaskan kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Dr Mahathir berkata, kenyataan itu turut memberi maksud tersirat bahawa kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu dipersoalkan.

Katanya, kenyataan itu menggambarkan dirinya sebagai seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika dalam memegang jawatan awam, dan tidak layak menjadi pemimpin.