KLANG - Tidak melakukan audit dalaman dan tiada pemantauan Sistem Pengesanan Global (GPS) antara elemen yang gagal dipatuhi syarikat kenderaan perdagangan hasil Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tahun lalu.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pada tempoh itu pihaknya telah melaksanakan 278 audit JISA di seluruh negeri ini.
Menurutnya, ia meliputi audit kemalangan dan susulan kemalangan, audit berkala dan susulan berkala, audit aduan dan susulan aduan serta audit pasca penggantungan.
"Audit JISA mempunyai 23 elemen dan tujuh perkara mandatori yang perlu dipatuhi bagi pematuhan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 di bawah Industri Code Of Practice (ICOP) meliputi kepimpinan dan keselamatan, pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu, pengurusan rekod serta pengurusan risiko.
"Antara elemen yang gagal dipatuhi seperti tidak mewujudkan jawatankuasa keselamatan di tempat kerja, tidak memasang GPS ke atas semua kenderaan aktif bermotor (mandatori), tidak membuat pemantauan GPS secara 'real time' dan tidak mengambil tindakan terhadap ketidakpatuhan kelajuan yang dilakukan oleh pemandu.
"Kesalahan lain antaranya tidak membuat semakan saman setiap bulan melalui pangkalan data JPJ atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), tidak melaksanakan audit dalaman bagi pematuhan ICOP Keselamatan bagi setiap enam bulan sekali serta gagal melaksanakan latihan Pelan Tindakan Kecemasan kepada pemandu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, pihak syarikat memberi alasan tidak memahami kehendak ICOP, kos penyelenggaraan dan perbelanjaan tinggi serta kekurangan pemandu dalam industri pengangkutan.
Mengulas lanjut, JPJ mengingatkan kepada pengendali syarikat kenderaan agar mengutamakan keselamatan di jalan raya.
"Diharap pengendali memainkan peranan penting untuk membuat pemeriksaan mengejut ke atas kenderaan dan pemandu sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan kenderaan dan pemandu dalam keadaan bersedia dan selamat," ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Swift Haulage Berhad, Thomas A Ramadas berkata, pihaknya menekankan pematuhan 100 peratus.
Jelasnya, bagi memastikan pemandu berada di tahap terbaik, pihak syarikat telah membuat saringan ujian air kencing secara rambang tahun lalu dan terbaharu tahun ini semua pemandu diwajibkan jalani ujian saringan air kencing.
"Bagi pemandu yang kurang pengalaman, kita juga melaksanakan kelas latihan selama tiga bulan bagi memastikan mereka benar-benar mahir.
"Kita sambut baik audit yang dilaksanakan JPJ ini bagi memastikan syarikat di tahap pematuhan lebih tinggi," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas JISA di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.
Sebelum ini, proses audit itu diketuai Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat yang melihat sendiri pengoperasian syarikat terbabit.
Ahmad Kamarunzaman telah dibawa melihat prosedur Pemeriksaan Kenderaan Sebelum Bergerak (PDC) serta penerangan pemantauan pemandu melalui GPS oleh wakil syarikat terbabit.