MALAYSIA menyokong komitmen Indonesia untuk meneruskan mandat biodiesel B40 pada 2025 walaupun berlaku penangguhan pelaksanaannya baru-baru ini, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, perancangan untuk melaksanakan campuran wajib biodiesel yang lebih tinggi telah memberikan sokongan besar kepada industri minyak sawit secara keseluruhannya.
"Indonesia menghasilkan kira-kira 48 juta tan metrik minyak sawit setiap tahun dan hampir 25 peratus daripada jumlah itu digunakan untuk pengeluaran biodiesel.
"Bolehkah anda bayangkan jika mereka tidak menggunakan biodiesel? Justeru, 25 peratus itu perlu dihantar ke pasaran dunia. Ini akan mewujudkan tekanan terhadap harga,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara FGV Holdings Bhd dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini.
Johari berkata, Indonesia kini berada pada tahap penggunaan biodiesel B40, jauh lebih tinggi berbanding Malaysia yang masih pada tahap B10.
Media sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan Indonesia masih belum melaksanakan campuran wajib biodiesel yang lebih tinggi dirancang bermula 1 Januari 2025.
Hal ini kerana para peserta industri sedang menunggu butiran teknikal peraturan baharu tersebut, menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pedagang minyak sawit.
Kerajaan Indonesia merancang mewajibkan campuran 40 peratus bahan api berasaskan minyak sawit dalam biodiesel mulai 1 Januari, yang dikenali sebagai B40 berbanding campuran 35 peratus yang sedang berkuat kuasa. - Bernama