SHAH ALAM – Video seorang nenek membaca surah Yasin ketika menunggu cucunya yang sedang menduduki peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meruntun hati netizen.
Dalam satu perkongsian seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong melalui TikTok, kelihatan seorang warga emas duduk di bangku luar dewan sambil membaca al-Quran sementara cucunya menjawab SPM.
Difahamkan, keberadaan warga emas itu di sekolah adalah untuk memberi semangat kepada kepada cucunya yang baru kehilangan ibunya.
Ibu pelajar tersebut baru saja meninggal dunia pada Oktober lalu dan calon adalah pelajar cemerlang yang mendapat pointer 3.6 seperti didedahkan guru yang mengajar pelajar ini.
Video dimuat naik di akaun TikTok berkenaan kini mendapat 896,000 tontonan dengan 147,000 tanda suka selain turut mendapat pebagai komen warga maya.
Menerusi komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sayu apabila terkenangkan kampung halaman terutama insan tersayang bergelar nenek atau ibu yang sudah pergi menemui Ilahi.
Ada juga yang menghargai pengorbanan warga emas itu yang setia menunggu sehingga cucunya selesai mengambil peperiksaan.
Kesimpulannya, video ini memperlihatkan betapa kasih sayang dan pengorbanan besar seorang nenek terhadap cucunya tidak dibatasi waktu dan usia.