Mohamed Khaled terima kunjungan hormat Jeneral Liu Zhenli

Iklan
Mohamed Khaled (kiri) mengadakan pertemuan bersama Jeneral Liu Zhenli yang melakukan kunjungan hormat sempena lawatan rasminya ke Malaysia di Wisma Pertahanan hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menerima kunjungan hormat Chief of Joint Staff Department of Central Military Commission People's Republic of China, Jeneral Liu Zhenli di Wisma Pertahanan, di sini.

Mohamed Khaled menerusi perkongsiannya di Instagram berkata, antara perkara dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk soal pengukuhan kerjasama antara dua negara, eksesais ketenteraan, forum antarabangsa dan industri pertahanan.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua buah negara sebelum ini telah mengadakan dialog dua hala berkenaan pengurusan isu maritim di Laut China Selatan.

"Pendekatan diplomasi seperti ini akan diteruskan bagi memastikan isu seumpama ini dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Iklan

Mohamed Khaled berkata Malaysia menghargai hubungan diplomasi dan pertahanan dua hala yang sudah lama wujud dengan China dan percaya hubungan baik itu akan terus diperkukuh berlandaskan rasa hormat dan persefahaman antara kedua-dua negara.

Terdahulu, Liu turut membuat kunjungan hormat ke atas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dalam rangka lawatan rasminya ke negara ini di Wisma Pertahanan, di sini hari ini untuk memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama pertahanan kedua-dua negara.

Iklan

Menurut kenyataan Markas Angkatan Tentera hari ini pertemuan itu mencerminkan hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara dalam usaha memastikan kestabilan dan keselamatan serantau.

"Semasa pertemuan, kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan keselamatan serantau, pertukaran maklumat ketenteraan dan kerjasama dalam bidang latihan serta operasi bersama,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sesi kunjungan hormat Liu ke atas Mohammad dimulakan dengan Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan kekuatan tiga pegawai dan 103 anggota yang diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Laut Laksamana, Datuk Zulhelmy Ithnain. - Bernama