KOTA KINABALU - Objek dipercayai bom tinggalan Perang Dunia Kedua yang ditemui di Pulau Sibuan, Semporna, berkemungkinan timbul akibat pergerakan pasir di dasar laut.
Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Maklarin Lakim berkata, objek seakan-akan bom itu ditemui di kawasan snorkeling iaitu kira-kira 30 hingga 50 meter dari pesisir pantai.
"Mungkin dahulunya objek ini berada di dasar laut di bawah timbunan pasir tetapi mungkin disebabkan berlakunya pergerakan pasir ia timbul," katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.
Katanya lagi, laporan polis telah dibuat dan kawasan itu diminta ditutup untuk sementara untuk siasatan lanjut.
"Sekarang masih dalam siasatan polis dan jika benar ia bom maka, kita tengok bagaimana objek itu mahu angkat dan bawa ke tempat lain untuk diletupkan di kawasan selamat atau bergantung dengan prosedur pihak berkuasa," katanya.
Bagaimananpun, Maklarin berkata, ia adalah prosedur biasa jika ada penemuan bahan letupan.
"Tiada perkara perlu dibimbangkan sebab ini hanya penemuan bom lama tapi untuk keselamatan pulau perlu ditutup.
"Pelancong boleh menjalankan aktiviti snorkeling di kawasan lain untuk sementara waktu dan apabila polis sudah ambil tindakan serta mengisytiharkan kawasan itu selamat barulah kita buka semula," jelasnya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Pulau Sibuan ditutup sementara susulan penemuan objek seperti bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua.