KOTA KINABALU - Belum ada perbincangan rasmi dilakukan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi membuat keputusan berkaitan cadangan Parti Warisan (Warisan) menyertai gabungan tersebut.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, cadangan untuk menjemput Warisan menyertai GRS hanya pendapat individu beberapa pemimpin namun ia tidak mewakili pendirian rasmi gabungan tersebut.
Joniston yang juga Ketua Penerangan PBS berkata, walaupun GRS menyokong usaha untuk menyatukan parti tempatan demi kebaikan Sabah namun terdapat proses yang perlu diikuti.
"Ini pandangan yang disuarakan oleh segelintir individu, tetapi ia belum dibincangkan secara formal dalam kepimpinan GRS atau PBS.
"Kami hargai keprihatinan untuk memperkukuhkan landskap politik di Sabah namun menyeru agar penyokong dan rakyat tidak membuat kesimpulan berdasarkan pandangan individu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kenyataan itu sebagai menjelaskan pendirian GRS berhubung kenyataan daripada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berulang kali mahukan parti tempatan di negeri ini bersatu padu namun masih ada yang menolaknya.
Mohd Shafie mengatakan demikian selepas ditanya berhubung dakwaan Warisan ada membuat rundingan dengan GRS yang juga merupakan gabungan daripada parti-parti tempatan di negeri ini.
Sebagai respons lanjut, Ketua Pemuda PBS, Chsristoper Mandut dalam kenyataannya pula mencadangkan agar Warisan mengemukakan permohonan mereka jika serius untuk menyertai GRS.