Titah Adendum: Kerajaan sudah ikut prosedur - Fahmi

Iklan
Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR - Dakwaan Kerajaan Perpaduan mengabaikan Titah Adendum tidak wajar kerana pelaksanaan pengurangan hukuman dan denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, perintah tersebut mempunyai cop mohor dan tandatangan Seri Paduka Baginda ketika itu.

Iklan
Iklan

Tegas beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima perintah pembebasan tersebut mengikut prosedur betul.

"Perintah yang diterima itu sah melalui sekretariat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dikeluarkan oleh Lembaga Pengampunan. Apa sahaja dokumen yang diterima akan dilaksanakan berlandaskan undang-undang.

Iklan

"Pihak KDN khususnya Jabatan Penjara telah melaksanakan perintah yang telah dilengkapi cop mohor serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

"Sebarang perkara berkaitan dengan arahan tersebut terbit daripada prosiding Lembaga Pengampunan berlandaskan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika sidang media selepas Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum Diraja yang akan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah, kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.

Iklan

Dakwaan terhadap Kerajaan Perpaduan mengabaikan Titah Adendum tidak wajar kerana pelaksanaan pengurangan hukuman dan denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib, 71, sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lepas, yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Titah Adendum dipercayai dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Susulan perkembangan mengenai surat daripada Majlis Kesultanan Pahang mengesahkan wujudnya perintah Adendum yang dikemukakan dan dibacakan oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku peguam utama Najib di Mahkamah Rayuan.

Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan bahawa Jabatan Penjara tidak pernah menerima sebarang perintah daripada Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya untuk membenarkan Najib menjalani baki tempoh hukuman penjaranya di rumah.

Mengulas lanjut, Fahmi menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan.

"Keputusan Mahkamah Rayuan adalah untuk meremitkan dan meminta Mahkamah Tinggi mendengar kes tersebut.

"Saifuddin telah menerangkan proses dan garis masa berkenaan isu ini. Jadi, berkaitan dengan kes, kita serah sahaja kepada pihak mahkamah,” ujarnya.