KOTA BHARU - Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) terus memperkasakan usaha membudayakan al-Quran dalam kalangan ummah menerusi Konvensyen Rumah Ngaji yang akan diadakan di Masjid Muhammadi di sini pada Sabtu ini.
Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim berkata, pihaknya akan meneliti dan merangka perancangan strategik bagi menghasilkan satu pelan tindakan di konvensyen itu nanti dalam memastikan perjuangan membina masyarakat bersama al-Quran tercapai.
"Hasrat kami agar masyarakat dapat membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dengan lebih berjaya.
"Kami juga mahu menyelamatkan seramai mungkin ummah dalam kehidupan mereka berpandukan al-Quran serta sunnah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau mengulas, konvensyen antara lain bertujuan menyediakan peluang kepada pengusaha-pengusaha Rumah Ngaji PRNNK dan ahli-ahli bersekutu bertukar-tukar ilmu serta pengalaman dalam mengusahakan Rumah Ngaji selain mengukuhkan silaturahim.
Katanya, PRNNK juga menggunakan pendekatan dan gerak kerja #savingtheummah selain meletakkan sasaran untuk menjayakan Resolusi Keluarga Malaysia berpandukan al-Quran.
"Pihak PRNNK juga ingin bersama merangka kaedah untuk membina Wanita Hebat Pendorong Keluarga Menuju Syurga.
"Ini juga resolusi yang dihasilkan daripada program Wanita Kelantan Quran Hour 2024 yang diadakan tahun lalu,” katanya.