PM Thailand sangkal khabar angin rombakan kabinet

Iklan
Paetongtarn Shinawatra - Foto: Xinhua

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra pada Selasa menyangkal khabar angin mengenai kemungkinan berlaku rombakan kabinet dan menegaskan bahawa parti-parti gabungan masih kekal bersatu.

Paetongtarn berkata, walaupun beliau tidak berniat merombak kabinet, beliau merancang untuk bertemu setiap menteri secara individu bagi menilai prestasi mereka untuk tempoh tiga bulan lepas.

Iklan
Iklan

"Ini adalah perbincangan yang telah dirancang. Dalam bulan ini, saya akan bertemu kira-kira dua kementerian. Saya ingin mengadakan perbincangan ini sejak permulaan penggal mereka, namun disebabkan pelbagai tanggungjawab yang timbul, ia menjadi perlu untuk memperjelaskan peranan setiap kementerian. Kini, perkara ini semakin jelas,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan pada Selasa.

Beliau menjelaskan bahawa pertemuan bersama menteri-menteri telah dirancang dan diumumkan sejak tahun lepas, sambil menegaskan tiada sebab untuk mereka berasa bimbang.

Iklan

"Tiada keperluan untuk para menteri berasa gusar kerana ini hanya kemas kini mengenai sejauh mana pelaksanaan dasar telah dicapai. Tanggungjawab telah pun diagihkan kepada timbalan perdana menteri.

"Mesyuarat ini bertujuan memahami pelaksanaan kerja di lapangan dan memberi peluang kepada setiap menteri untuk mengemukakan idea serta permintaan bagi mendapatkan sokongan bersama untuk mencapai hasil yang konkrit,” katanya.

Iklan

Baru-baru ini, media tempatan Thailand melaporkan terdapat perpecahan dalam Kabinet, dengan Menteri Tenaga Pirapan Salirathavibhaga menghadapi tekanan politik yang hebat susulan dakwaan perselisihan dengan seorang tokoh pembiaya utama partinya, Parti United Thai Nation (UTN), sehingga mencetuskan spekulasi beliau mungkin digugurkan. - Bernama