KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dilakukan berhubung isu Titah Adendum yang didakwa disembunyikan pihak tertentu.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini selama hampir satu jam bermula jam 5.30 hingga 6.30 petang pada Selasa.
Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, langkah itu diambil bagi mempertahankan institusi diraja kerana terdapat pelanggaran undang-undang dan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam perkara tersebut.
"Kewujudan Titah Adendum yang disahkan oleh Istana Pahang dan Mahkamah Rayuan kelmarin amat mengejutkan.
"Kami percaya pihak polis akan menyiasat perkara ini hingga ke lubang cacing kerana apa yang berlaku jelas melanggar undang-undang dan menderhaka kepada YDPA.
"Pihak yang menyembunyikan dan tidak melaksanakan Titah YDPA ini telah melakukan jenayah berat dan telah derhaka,"katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis, di sini petang Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya kesal memandangkan sepatutnya Pemuda UMNO yang tampil membuat laporan polis kerana perkara itu melibatkan bekas presiden parti tersebut.
"Kita tampil hari ini bukan untuk mengatakan bahawa Datuk Seri Najib tidak bersalah, kita mempersoalkan mengapa Titah Adendum itu tidak dilaksanakan mengikut lunas undang-undang, sebab itu kita minta polis siasat.
"Atas asas menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, sewajarnya pihak UMNO, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP turut bertindak membuat laporan sama supaya tiada lagi perbuatan sama iaitu 'menyorok' keputusan-keputusan penting dalam negara," ujarnya.
Isu berkaitan Titah Adendum menjadi hangat apabila ia dikatakan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Pada Isnin, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum Diraja yang akan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah, kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.