KUALA LUMPUR - Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membuktikan komitmen Malaysia terhadap usaha integrasi serantau, lebih tepat lagi ketika negara ini menggalas tugas kepengerusian ASEAN pada tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Seiring dengan tema"Inklusiviti dan Kelestarian” ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia, beliau turut menegaskan keazaman negara ini untuk mengukuhkan hubungan serantau.
"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN diunjur melepasi angka AS$6 trilion (AS$1=RM4.48) menjelang 2030 dan Malaysia tekad untuk memainkan peranan utama dalam perjalanan pertumbuhan ini.
"Sehubungan itu, projek-projek seperti JS-SEZ ini membuktikan komitmen kita terhadap penyepaduan serantau. Menerusi usaha pemupukan inovasi dan menarik pelaburan, JS-SEZ akan menjadi teras dalam kerjasama ekonomi," katanya dalam ucaptama Hari Korporat Malaysia Tahunan ke-17 oleh CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Anthony berkata, inisiatif lain seperti Rangkaian Lebuhraya ASEAN dan Saluran Paip Gas Trans-ASEAN juga jelas menekankan komitmen Malaysia dalam meningkatkan aspek kesalinghubungan dan keterjaminan tenaga di seluruh rantau ini.
"Bagi saya, kelebihan yang kita ada dalam rantau ini adalah wujudnya (negara-negara) jiran yang baik.
"Ini adalah kelebihan semula jadi kita. Tidak banyak bahagian di dunia ini yang boleh menyaksikan penduduk dapat hidup secara harmoni dan aman. Walaupun kita mungkin saling bersaing, tetapi kita juga pada masa sama sentiasa mengenal pasti cara untuk bekerjasama dan saling berusaha,” katanya.
Anthony turut memetik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong dalam sidang media bersama pagi ini yang menekankan bahawa persaingan bukan lagi antara negara-negara ASEAN tetapi antara bahagian lain dunia.
"Kita perlu mengukuhkan kedudukan di peringkat serantau dan dalam ASEAN sambil meningkatkan perniagaan dalam rantau itu. Ini adalah rantau dengan pertumbuhan besar dan Malaysia berada dalam kedudukan tepat untuk menerajui usaha ini, terutamanya selepas kita menggalas tugas sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.
"Saya yakin Perdana Menteri kita dan anggota lain dalam kerajaan ini akan berusaha sebaik mungkin untuk melonjakkan profil Malaysia dan memainkan peranan kepimpinan dalam meningkatkan kerjasama dan kolaboratif serantau,” katanya.
Pada acara sama menerusi sesi bualan santai, Anthony menekankan kepentingan sektor logistik sebagai salah satu tonggak JS-SEZ yang bertujuan menarik lebih banyak pelaburan selain menggalakkan penempatan semula operasi logistik dari Singapura ke Johor yang mewajarkan usaha mewujudkan gudang lebih besar di negeri itu.
"Singapura misalnya masih mempunyai kelebihan tertentu menerusi kewujudan lapangan terbang, pelabuhan dan infrastrukturnya.
"Namun, saya percaya banyak operasi boleh berpindah ke Johor. Kita berharap dapat bekerjasama dengan pengendali, pihak berkuasa pelabuhan dan lain-lain dalam menyediakan lebih banyak ruang dan tanah untuk tujuan itu,” katanya. - Bernama