SHAH ALAM - Setiausaha Koordinasi Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Iswardy Morni mempersoalkan tindakan pembangkang menyerang dan mempersalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Titah Adendum.
Iswardy mendakwa, gesaan supaya Anwar melepaskan jawatan bagi bertanggungjawab ke atas isu berkenaan tidak sepatutnya dilakukan memandangkan Peguam Negara yang perlu dipertanggungjawabkan.
"Pembangkang sentiasa gunakan apa sahaja isu. Kadang-kala perkara kecil juga mereka akan perbesarkan, itu biasa dalam mana-mana parti politik.
"Namun kalau hendak serang sekali pun, kenapa tuntut Anwar untuk letak jawatan sebagai Perdana Menteri?
"Sedangkan apa yang dibaca oleh peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, surat (Titah Adendum) itu ditujukan kepada Peguam Negara pada waktu itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Wacana Sinar edisi 470 bertajuk ‘Politik 2025, Perpaduan Melayu dan Faktor Najib’ yang disiarkan secara langsung menerusi platform digital Sinar Harian, bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
Hadir sama, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Asri Mohd Ali dan Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.
Sementara itu, mengulas mengenai kemunculan semula bekas Ahli Parlimen Pekan kepada kesan kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH), ujar Iswardy, ia bergantung kepada bagaimana kedua-dua gabungan melihat kepada kos dan manfaat terhadap aspek tersebut.
Tambahnya, sewaktu Anwar membawa kes Najib untuk dipertimbangkan dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, ia juga memberi kesan kepada PH.
"Secara peribadi, suka atau tidak, imej Barisan Nasional (BN) tercalar pada 2018 disebabkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
"Bila bawa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), isu tersebut masih dimainkan sehingga kerusi UMNO lagi rendah.
"Malah, ada yang mempertikai kenapa berikan pengurangan hukuman kepada Najib. Jadi saya nampak perkara itu beri impak kepada kami (PH) juga,” ujarnya.