Imigresen nafi lakukan operasi di kawasan ibadat Kuil Sri Subramaniar

Iklan
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen menafikan pihaknya melakukan operasi penguatkuasaan di kawasan ibadat Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, Selangor pada 14 Februari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor itu hanya dijalankan di kawasan perniagaan sekitar pekarangan kuil tersebut.

Iklan
Iklan

"Jabatan ini sentiasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan penuh tanggungjawab secara berintegriti, adil dan saksama.

"Setiap operasi yang dilakukan oleh jabatan ini sentiasa mematuhi arahan mengenai Tatacara Pengendalian Operasi Penguatkuasaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan bertarikh 16 Februari lalu berhubung operasi di kuil terbabit.

Khairul Dzaimee berkata, Imigresen melakukan operasi berdasarkan aduan awam dan maklumat awam yang diterima melalui panggilan telefon, surat, e-mel dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Iklan

"Pegawai Imigresen hanya akan melakukan operasi setelah mendapat arahan daripada pihak atasan melalui Perintah Gerakan," katanya.

Katanya, berhubung operasi di Batu Caves, selain hasil risikan pihaknya turut menerima aduan memorandum oleh badan bukan kerajaan (NGO) mengenai warga asing yang berniaga di gerai-gerai pekarangan kuil tersebut.

Sementara itu, berhubung dakwaan Imigresen tidak mengambil tindakan terhadap pasar-pasar borong, Khairul Dzaimee berkata, bagi tahun ini sehingga 14 Februari lalu sebanyak 21 operasi telah dilaksanakan.

"Hasil daripada operasi tersebut, seramai 138 orang telah diperiksa dan 89 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditangkap.

"Sepanjang tahun lalu, seramai 726 PATI dan 54 majikan ditahan sepanjang 133 operasi di pasar-pasar borong sekitar Lembah Klang. Namun begitu terdapat juga warga asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah untuk bekerja di lokasi tersebut," katanya.

Katanya, pada tahun ini sehingga 14 Februari sebanyak 2,292 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh Malaysia.

"Hasilnya seramai 28,994 orang telah diperiksa dan dari jumlah tersebut sebanyak 7,760 orang PATI telah ditangkap serta 135 orang majikan telah ditahan," katanya.