PARIS - Seorang pemilik rumah di utara Perancis terpaksa mencabut pintu dan tingkap rumahnya sebagai pengajaran selepas penyewanya enggan membayar sewa.
Dalam kejadian berlaku di Pas-de-Calais di utara Perancis, pekerja kontraktor dikerahkan pemilik rumah ke kediamannya untuk mencabut tingkap dan pintu dengan alasan bagi mengantikan yang baharu.
Namun, kejadian pelik terjadi apabila sekumpulan lelaki itu hanya membawa balik pintu dan tingkap bersama mereka selain meninggalkan keluarga penyewa dalam kesejukan tanpa rumah yang sempurna.
Penyewa yang juga seorang ibu kepada seorang anak memberitahu portal TF1 bahawa dia cuba menghubungi pemilik rumah selepas kejadian itu, namun dia tidak menerima sebarang jawapan daripada pemilik tersebut.
Atas sebab itu, dia terpaksa menghalang tingkap dan pintu dengan kertas kadbod yang dibimbangi akan menggugat keselamatan keluarganya.
Ketika dihubungi media Perancis, pemilik rumah mengakui dia telah mencabut pintu dan tingkap di kediaman disewanya kerana penyewa gagal melunaskan perjanjian sewa mereka.
"Mereka (penyewa) tidak menginsurankan rumah itu. Sebelum ini, kami telah bersetuju bahawa dia akan membayarnya, jadi dia kini berhutang sewa selama lima bulan," katanya.
Persatuan Pemilik Rumah Perancis memberitahu wartawan bahawa mereka memahami motif tuan tanah, sambil menambah bahawa kaedah yang digunakan untuk memaksa penyewa meninggalkan harta itu adalah menyalahi undang-undang sepenuhnya.
Atas sebab itu, penyewa telah memfailkan aduan kerana pecah amanah dan sedang mencari rumah baharu untuk keluarganya berteduh ketika musim sejuk. - Agensi