BEKAS Perdana Menteri Thailand digulingkan, Thaksin Shinawatra mengesahkan beliau tidak akan kembali memegang jawatan tersebut.
"Saya tidak berhasrat untuk berbuat demikian, Sebaliknya, saya akan memberi tumpuan terhadap karier politik anak saya, Paetongtarn dan membantu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk mengurangkan kos elektrik pada 2025,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika Thaksin menyertai kempen Salakjit Tiyapairat yang bertanding jawatan Presiden Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Chiang Rai (PAO) di bawah Parti Pheu Thai.
Parti pemerintah itu telah meminta tempoh selama dua tahun untuk menangani krisis hutang negara yang semakin meningkat.
Menerusi ucapannya, Thaksin, 75, turut menekankan isu kritikal dihadapi Thailand iaitu kelaziman rakan kongsi yang tidak cekap merangkumi pelbagai sektor terutamanya perkhidmatan awam.
Menurutnya, kerajaan sekarang sedang bekerjasama dengan penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti selain memenuhi sasaran ditetapkan.
Berhubung isu bil elektrik, Thaksin menyatakan komitmen tegas untuk mengurangkan kadar kepada 3.7 baht (48 sen) seunit.
Selain itu, beliau juga berjanji mengurangkan kos makanan haiwan, baja dan harga ubat-ubatan dalam tempoh 12 bulan.
Taikun telekomunikasi itu turut menggariskan tiga keutamaan kerajaan untuk 2025 iaitu menangani isu berkaitan penyalahgunaan dadah, menghapuskan pusat operasi scammer dan memecahkan monopoli bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat negara tersebut.
Ketika penyokong Pheu Thai bersorak menuntut beliau kembali menjadi Perdana Menteri, Thaksin secara berseloroh menolak desakan itu dan menyebut faktor usianya menyebabkan perkara itu mustahil berlaku.
Beliau menggesa para hadirin supaya terus menyokong generasi muda untuk memimpin Thailand.
"Hidup tanpa terlibat dengan dunia politik lebih tenang,” katanya sambil menyebut tentang jumlah kekayaan peribadi beliau ketika ini yang berjumlah 60 bilion baht (RM7.84 bilion).
Difahamkan, kemunculan Thaksin pada acara itu kerana Salakjit merupakan isteri kepada bekas Speaker Parlimen, Yongyuth Tiyapairat yang kekal menjadi sekutu utama politik Thaksin di wilayah utara.
Selain itu, beliau juga merupakan ibu kepada Piyarat Tiyapairat yang mewakili Pheu Thai di Chiang Rai.
KOMEN RASIS
Thaksin kembali menuai kontroversi selepas beliau dikatakan membuat kenyataan berunsur rasis terhadap wanita Afrika ketika menyertai kempen Pheu Thai.
Senator Angkhana Neelaphaijit turut menuntut permohonan maaf daripada beliau.
Menerusi ucapan itu, Thaksin menyarankan parti pemerintah mempromosikan wanita tempatan sebagai model fesyen antarabangsa kerana mereka lebih mempunyai daya tarikan berbanding wanita Afrika.
"Rupa paras dan warna kulit wanita Afrika yang tidak begitu cantik tetap diambil sebagai model fesyen dan menjana pendapatan jutaan baht untuk sesebuah pertunjukan sedangkan gadis kita lebih anggun.
"Mereka tidak perlu melakukan pembedahan kosmetik untuk mencantikkan hidung atau dagu. Mulai sekarang, kita akan pilih wanita tempatan yang secara semula jadi lebih menawan untuk menjadi ikon fesyen global,” kata Thaksin pada acara itu.
Angkhana berharap anaknya, Paetongtarn tidak akan mengabaikan sentimen rasisme yang diucapkan bapanya dan memastikan insiden keterlanjuran kata-kata itu tidak berulang.
"Kenyataan beliau jelas melanggar Perlembagaan yang menjamin penghormatan kaum dan melarang rasisme selain melanggar komitmen kerajaan terhadap hak asasi manusia.
"Meskipun beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi, pengaruh beliau dalam Pheu Thai dan dalam kalangan rakyat masih kuat. Membuat kenyataan berbaur perkauman di hadapan khalayak umum adalah satu perkara serius di peringkat antarabangsa dan tidak wajar diabaikan," tegasnya lagi. - Agensi