SHAH ALAM - Seorang wanita tidak menyangka penyewa sebelah rumah emaknya kini menjadi ‘teman sebantal’ yang dicintai sejak 13 tahun lepas.
Nur Aiin Faridzat Abdul Rahim, 38, berkata, perkahwinan dia dan suami, Mohd Syazwan Mohd Saleh, 42, seperti drama Melayu dan merupakan rahsia Tuhan yang tidak dapat dirungkai sehingga sekarang.
Kongsinya, kisah bermula ketika dia berumur 24 tahun dan Mohd Syazwan merupakan penyewa di sebelah rumah emaknya.
"Pada tahun 2011, mak telefon cakap ada penyewa lelaki baharu sebelah rumah tetapi sudah nak jadi tunang orang. Mula-mula saya seronok siap cakap mungkin jodoh, tetapi bila tahu dia milik orang, terus saya rasa sangat cemburu.
"Kalau nak cakap berkenaan rasa, perasaan cemburu waktu itu seperti kita sukakan seseorang, bila saya tahu dia nak kahwin dengan orang lain saya jadi tak suka padahal saya tak pernah bertemu langsung dengan dia.
"Saya pelik, kenapa ALLAH SWT hadirkan perasaan itu, kenapa saya cemburu dan sedih. Kemudian bila suatu hari saya dapat tahu daripada mak dia sudah putus, terus saya jadi sangat seronok dan rasa macam ada harapan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Kini, hasil perkahwinan Nur Aiin Faridzat dan suaminya itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Syahmi Amsyar, 11, Muhammad Syaakir Amzar, 9, Nur Syaura Areesya, 7, serta Muhammad Syamil Asfa Mohd Syazwan, 4.
Mengulas lanjut, dia yang yang menetap di Chemor, Perak memberitahu pertemuan pertama dengan suami ketika itu digambarkan menjadi detik penuh debaran.
"Kemudian selepas istikharah rupanya suami yang mula hantar ‘request’ di Facebook. Dia mesej saya ajak kahwin, ya tiada sesi perkenalan dan meluahkan perasaan langsung.
"Alhamdulillah tidak lama selepas itu suami datang merisik, bertunang pada 25 Disember 2011 dan bernikah pada 29 Jun 2012,” ujarnya bahagia.
Ditanya mengenai apa yang membuatkan suaminya itu jatuh hati kepada Nur Aiin Faridzat, dia berkata, sehingga ke hari ini perkara mengenai pertemuan pertama antara mereka tidak pernah dibincangkan bersama.
"Bila saya tanya, suami akan cakap, ‘banyak yang sayang tak tahu sebenarnya, kalau nak cerita memang panjang, nanti lah abang cerita’.
"Ini semua rahsia Tuhan dan saya doa semoga perkahwinan ini kekal sampai syurga serta bahagia bersama anak-anak kami," ujarnya.