MIKEL Arteta menyifatkan kegagalan Arsenal untuk menyesuaikan diri dengan bola yang digunakan menjadi faktor kekalahan 0-2 kepada Newcastle United pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga.
Gol daripada Alexander Isak dan Anthony Gordon meletakkan skuad Eddie Howe dalam kedudukan yang baik menjelang perlawanan timbal balik pada 5 Februari depan.
The Gunners mempunyai banyak peluang untuk meledak gol namun gagal untuk menembusi gawang Newcastle sepanjang perlawanan.
Arteta berkata, bola Puma yang digunakan dalam Piala Liga mempunyai kelainan berbanding bola Nike yang digunakan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Bola ini sangat berbeza dengan bola EPL dan anda perlu menyesuaikan diri dengan keadaan ini kerana ia melambung apabila ditendang. Apabila anda menyentuhnya, cengkaman juga sangat berbeza," katanya.
Dalam pada itu, Arteta percaya pasukannya bermain lebih baik berbanding Newcastle yang menyudah peluang dengan baik untuk mendapatkan dua gol dalam perlawanan itu.
"Dalam setiap aspek lain, kami adalah pasukan yang lebih baik. Mereka menjaringkan dua gol dan kredit kepada mereka kerana mereka berjaya memenangi perlawanan seperti ini.
"Apabila kami terlepas peluang itu dan bolos gol ia sentiasa sukar, tetapi pasukan bertindak balas. Kami mencipta banyak situasi tetapi memang benar, mereka bertahan dengan sangat baik," katanya.