IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 393 botol sabun pencuci berjenama tiruan dalam serbuan berasingan premis perniagaan di Seri Iskandar dan Taiping pada Selasa.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan aduan oleh wakil pemilik cap dagang berhubung penjualan sabun pencuci berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis berkenaan.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 393 unit sabun pencuci yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.
"Kesemua barangan dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7,104.27," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, premis terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102 (1(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan dan kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
"KPDN ingin menegaskan agar peniaga tidak menjual barangan tiruan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar Akta Cap Dagangan 2019.
"Sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM15,000 bagi setiap barangan sekiranya orang tersebut merupakan pertubuhan perbadanan manakala jika bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.