JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga gerai makanan ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai membuat hantaran menghina Yang di-Pertuan Agong di aplikasi X pada minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, penahanan lelaki berusia 55 tahun itu, dibuat sepasukan anggota polis di bandar raya ini, susulan laporan yang diterima berkenaan hantaran berkenaan.
Menurut beliau, telefon bimbit milik tertuduh yang dipercayai digunakan untuk mengakses aplikasi X dan memuat naik hantaran berkenaan turut dirampas.
"Hantaran itu dipercayai dibuat pada 29 Disember lalu dan boleh diakses di pautan https://x.com/zatocent/status/1873123178996011382?s=48.
"Oleh itu, keesokannya pada 30 Disember, polis menahan warga emas terbabit dengan kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk mendapatkan arahan pertuduhan," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, tertuduh disiasat menerus Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan penerbitan menghasut.
Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali.
"Tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Rabu.
"Polis Johor memandang serius serta memberi amaran tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen 3R yang membabitkan raja, agama dan kaum di platform media sosial sehingga boleh membangkitkan perpecahan keamanan serta menggugat keharmonian masyarakat," katanya.