DALAM keadaan negara masih panas dengan isu Titah Adendum, usaha kerajaan membangunkan negara menerusi kerjasama dengan Singapura dilihat bakal memberi kesan positif kepada ekonomi semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Lawrence Wong selepas mesyuarat delegasi sempena Pemukiman Pemimpin Ke-11, Putrajaya pada Selasa berkata, kedua-dua negara berkenaan akan membuka semula perbincangan mengenai isu-isu yang telah lama berlarutan seperti isu pembekalan air, persempadanan maritim dan ruang udara.
Beliau berkata, susulan langkah itu, pasukan teknikal akan membincangkan perkara-perkara berkenaan parameternya.
Ujar Menteri Kewangan, eksport tenaga elektrik Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura turut dibincangkan dengan rakan sejawatannya itu.
Menerusi kerjasama tersebut, sudah tentu ia bakal meningkatkan aliran perdagangan antara kedua-dua negara.
Bukan itu sahaja, seperti sedia maklum Singapura adalah salah satu negara utama yang melabur di negara ini.
Maka, sudah tentu pelaburan ini juga dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan infrastruktur dan menggalakkan pertumbuhan sektor industri serta perkhidmatan.
Bagaimanapun, melihat dari sudut lebih besar, Malaysia dan Singapura sebagai anggota ASEAN, boleh menjadi contoh kepada negara-negara serantau dari segi menyelesaikan konflik dan bekerjasama demi mencapai manfaat bersama.
Selain itu, kerjasama kedua-dua negara dalam menangani isu-isu berkenaan amat penting untuk kestabilan hubungan dua hala, kemakmuran dan keamanan serantau.