Tahanan rumah: Jangan libatkan jenayah berat

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan RUU tahanan rumah. Gambar kecil: Muzaffar Syah

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengenal pasti golongan atau kumpulan penjenayah sesuai yang boleh diberikan hukuman tahanan dalam rumah.

Pakar undang-undang dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, kes melibatkan jenayah berat seperti bunuh, keganasan, jenayah seksual, rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa tidak sepatutnya diberikan hukuman tersebut.

Iklan
Iklan

Ujarnya, ia kerana pelaksanaan itu dilihat sebagai satu keistimewaan luar biasa yang hanya diberikan kepada penjenayah tertentu.

"Tidak semua penjenayah harus diberikan dengan tahanan rumah.

Iklan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum, Januari tahun lalu.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Iklan

Menurut Muzaffar Syah, kajian mendalam dan teliti perlu dilakukan sebelum melaksanakan rang undang-undang (RUU) melibatkan tahanan rumah kerana ia memiliki kebaikan dan keburukan tersendiri.

Kata beliau, antara kebaikan RUU tersebut adalah mengurangkan tahap kesesakan banduan dan beban pihak kerajaan untuk menampung kehidupan seseorang pesalah dalam penjara.

"Keburukannya pula, hukuman ini boleh terdedah kepada proses penyalahgunaan apabila hukuman tahanan rumah ini diberikan khusus pada individu tertentu sahaja.

"Ia termasuk banduan atau penjenayah daripada kalangan golongan kenamaan (VIP) atau ahli politik dan tidak pada orang lain.

"Pemberian hukuman tahanan rumah pada penjenayah yang melakukan kesalahan jenayah serius juga boleh mengundang perasaan tidak puas hati orang ramai," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan turut disaran mencari jalan untuk melakukan proses pemantauan terhadap pesalah tahanan rumah.

Jelas beliau, penggunaan alat pemantau teknologi canggih seperti alat pengesan elektronik yang diletakkan pada kaki pesalah boleh dilakukan bagi memastikan mereka tidak melarikan diri dari rumah.

"Penggunaan alat tersebut juga dapat mengurangkan beban pihak berkuasa untuk menempatkan pegawai pemantau dan pada masa sama menjimatkan wang kerajaan daripada dibazirkan secara banyak untuk memantau pesalah.

"Banyak peruntukan undang-undang sedia ada dalam negara kita perlu diteliti dan mungkin dipinda sebelum pihak kerajaan ingin melaksanakan RUU berkaitan dengan hukuman tahanan rumah ini dalam negara kita seperti akta penjara dan kanun tatacara jenayah," ujarnya.