Jalan dua lorong di Farlim dibuka sebelum Tahun Baharu Cina

Iklan
Hon Wai mengadakan lawatan berkala di tapak projek bagi mengetahui perkembangan Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam.

GEORGE TOWN - Jalan di hadapan bangunan premis perniagaan di kawasan Farlim iaitu sepanjang Lebuhraya Thean Teik yang kini mempunyai satu lorong akan dibuka kepada dua lorong sebelum sambutan Tahun Baharu Cina nanti.

Kawasan tersebut adalah salah satu bahagian bagi Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebagai salah satu alternatif untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas.

Iklan
Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Wong Hon Wai berkata, usaha itu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang teruk ketika perayaan itu yang akan disambut pada penghujung bulan ini.

Menurutnya, kontraktor terlibat akan memulihkan laluan di jalan tersebut bagi membolehkan ia dibuka kepada dua lorong bagi kedua-dua arah untuk sementara.

Iklan
Kerja-kerja sedang dijalankan di bahagian tengah jalan menyebabkan hanya satu lorong dibuka untuk kedua-dua arah.

"Ketika ini, laluan di kedua-dua arah di kawasan tersebut dibuka kepada satu lorong sahaja berikutan kerja-kerja sedang dijalankan di bahagian tengah jalan. Untuk sementara waktu, pengawal trafik telah ditempatkan di lokasi untuk menguruskan lalu lintas.

"Bagaimanapun, memandangkan kawasan tersebut akan mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk semasa Tahun Baharu Cina, saya telah meminta kontraktor mencari jalan untuk mengurangkan kesesakan.

Iklan

"Kontraktor telah berjanji akan memulihkan laluan supaya dua lorong setiap arah dapat dibuka untuk sementara sebelum Tahun Baharu Cina," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif berkata, pada masa ini, kontraktor sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan 'slab' di atas longkang monsun.

"Kerja-kerja ini dijangka siap sebelum Tahun Baharu Cina. Bagaimanapun, selepas Tahun Baharu Cina, kontraktor akan memulakan kerja-kerja superstruktur (memasang rasuk dan sebagainya) di sepanjang jalan tersebut.

"Laluan akan disesuaikan semula kepada satu lorong dan satu setengah lorong. Pihak kontraktor dijangka memulakan pemasangan rasuk di kawasan tersebut iaitu di hadapan bangunan premis perniagaan Farlim pada Mei ini," tambahnya.

Jelasnya, kerja pemasangan cerucuk konkrit bertetulang (RC piling) untuk penutup longkang monsun di hadapan bangunan premis perniagaan berkenaan bagi seksyen 1 telah disiapkan.

"Pihak kontraktor telah menyesuaikan pelan untuk menutup longkang monsun atas permintaan penduduk Jalan Ru.

"Saya sendiri kerap joging di taman kejiranan Jalan Ru dan memahami kebimbangan mereka," tambahnya.

Sementara itu, di kawasan hadapan Pasar Farlim pula, Hon Wai berkata, kontraktor akan memasang baki rasuk dan 'portal cross head'.

"Kontraktor sedang menyusun jadual untuk menyiapkan projek ini menjelang tahun 2026 dan lebuh raya ini dijangka dibuka kepada lalu lintas pada tahun yang sama.

"Seperti yang saya umumkan sebelum ini, saya akan menganjurkan larian di lebuh raya ini sempena pembukaannya. Sebagai Pengerusi Penganjur Penang Bridge International Marathon, saya akan menggunakan kepakaran pasukan saya untuk menganjurkan Paya Terubong Bypass Highway Run," katanya.

Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam merupakan salah satu projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah bermula sejak tahun 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6.

Setelah siap kelak, jalan raya bebas tol sepanjang 5.7 kilometer yang menghubungkan Bandar Baru Ayer Itam dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ini akan memendekkan waktu perjalanan daripada 40 minit ke sekitar 5 minit.