ChatGPT digunakan untuk rancang letupan Cybertruck Tesla - Polis

Iklan
Tentera Amerika Syarikat yang didakwa meletupkan sebuah Cybertruck Tesla di luar Hotel Trump di Las Vegas, Nevada minggu lalu menggunakan ChatGPT untuk merancang serangan itu.

WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat yang didakwa meletupkan sebuah Cybertruck Tesla di luar Hotel Trump di Las Vegas, Nevada minggu lalu menggunakan ChatGPT untuk merancang serangan itu, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas pada Selasa.

Sherif Kevin McMahill dalam satu sidang media mendedahkan bahawa anggota tentera berkenaan, dikenali sebagai Matthew Livelsberger, 37, dari Colorado menggunakan chatbot kecerdasan buatan generatif itu untuk mengumpul maklumat bagi rancangannya.

Iklan
Iklan

Penolong Sherif Dori Koren berkata, suspek menggunakan ChatGPT untuk mengetahui jumlah bahan letupan yang diperlukan untuk operasi itu, lokasi pembelian serta menyelidik potensi letupan.

Ketika ditanya sama ada penggunaan ChatGPT oleh Livelsberger membimbangkan, McMahill menjawab,"Kami sudah menjangkakan bahawa AI akan mengubah situasi dalam kehidupan kita, cepat atau lambat.

Iklan

"Saya rasa ini adalah insiden pertama di Amerika di mana ChatGPT digunakan untuk membantu seseorang membina peranti tertentu, serta mengakses maklumat di seluruh negara semasa mereka melaksanakan rancangan ini.

"Ia adalah detik yang membimbangkan tetapi juga memberi pengajaran untuk dikongsi bersama penguat kuasa undang-undang dan entiti lain di seluruh negara," katanya.

Iklan

Pihak berkuasa tidak mendedahkan keputusan khusus yang diperoleh menggunakan ChatGPT berkaitan bahan letupan atau senjata api.

Pihak berkuasa juga menjumpai dokumen enam muka surat, yang digambarkan sebagai"manifesto," semasa analisis forensik digital telefon Livelsberger.

"Dokumen itu mengandungi pelbagai rungutan dan evolusi rancangan atau niatnya. Terdapat rujukan kepada isu politik, sosial dan budaya, termasuk kritikan terhadap pentadbiran semasa,"

"Maklumat baharu ini menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan. Saya tidak akan memberikan pendapat tentang apa yang dimaksudkan oleh dokumen itu dan kami juga tidak akan mendedahkan maklumat atau dokumen yang belum disahkan sepenuhnya oleh penyiasat bersama kami," kata Koren mengenai dokumen itu.

Livelsberger, yang sedang bercuti dari pangkalannya di Jerman, menembak dirinya sendiri sebelum letupan yang mencederakan tujuh orang lain, menurut pihak berkuasa.

FBI dan ATF membantu penyiasat tempatan dalam meneliti insiden itu.

OpenAI, pembangun ChatGPT masih belum mengulas mengenai penggunaannya dalam merancang letupan itu. - Bernama