Kadar cukai korporat istimewa ditawar kepada pelabur JS-SEZ

Iklan
Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU - Pelabur di Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JS-SEZ) berpeluang menikmati kadar cukai korporat istimewa sebanyak lima peratus bagi tempoh 15 tahun bermula 1 Januari lalu.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri Johor pada Rabu, pakej insentif cukai terbabit disediakan bagi menarik pelaburan tinggi seterusnya melonjakkan pertumbuhan ekonomi Johor seterusnya negara.

Iklan
Iklan

"Syarikat yang membuat pelaburan baharu dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan yang layak seperti AI and quantum computing, peralatan perubatan, aeroangkasa dan perkhidmatan hab global, berpeluang menikmati kadar cukai istimewa lima peratus bagi tempoh sehingga 15 tahun.

"Pelabur juga menerima insentif tambahan diperuntukkan untuk perniagaan yang beroperasi di kawasan flagship yang telah ditentukan di JS-SEZ.

Iklan

"Kadar cukai istimewa 15 peratus bagi tempoh 10 tahun diperuntukkan untuk pekerja berpengetahuan yang layak di JS-SEZ," katanya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pakej insentif JS-SEZ memberikan rangsangan untuk meningkatkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan global.

Iklan

"Kerajaan Madani dan Kerajaan Negeri Johor telah mengambil langkah proaktif untuk memberikan sokongan penuh kepada JS-SEZ dalam usaha menarik pelaburan.

"Dengan pelbagai kelebihan yang dimiliki oleh negeri ini, JS-SEZ akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab perdagangan dan maritim utama di rantau ini,” ujarnya.

Selain daripada pakej insentif cukai, kerajaan negeri Johor juga bersetuju untuk memperkenalkan duti hiburan pada kadar yang lebih rendah bermula 1 Januari 2025.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pakej insentif cukai JS-SEZ mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan hubungan manfaat bersama yang akan melonjakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Beliau turut menyatakan kerajaan mengalu-alukan perniagaan global untuk meneroka peluang besar yang ditawarkan oleh Malaysia.

"Dengan kerjasama antara Malaysia dan Singapura, pakej insentif JS-SEZ ini akan mempercepatkan kemasukan pelaburan berkualiti dalam sektor-sektor utama dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, dengan memanfaatkan kekuatan dan sinergi antara Johor dan Singapura,” katanya.

Pakej insentif cukai JS-SEZ ini melengkapi Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, bertujuan untuk merangsang pelaburan dalam industri bernilai tinggi dan dengan pertumbuhan mampan seterusnya merangsang pembangunan ekonomi yang saksama di seluruh Malaysia.

Direka untuk memastikan ketelusan dan aksesibiliti selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, pakej insentif cukai ini mencerminkan kerjasama erat antara Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Johor, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA),Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), TalentCorp, dan lain-lain pihak berkepentingan.

Bagi memudahcara proses permohonan pelaburan yang lebih pantas di JS-SEZ, kerajaan telah menubuhkan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) untuk menyelaras proses pelaburan secara menyeluruh, meliputi permohonan dan kelulusan, fasilitasi pelaburan dan pelaburan semula.

Butiran lanjut mengenai insentif cukai dan zon flagship akan diumumkan dalam masa terdekat.