KLANG - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarah untuk memastikan proses penggalian dan pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang dipatuhi.
Ia susulan dakwaan waris memaklumkan tidak diberikan sebarang notis mengenai prosedur operasi standard (SOP) sebelum kerja-kerja itu dilakukan.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, di peringkat kerajaan negeri, proses kelulusan pemindahan kubur diberikan kepada Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut prosedur standard ditetapkan.
"Kelulusan diberikan kepada ECRL dengan syarikat itu perlu patuh syarat dan proses pemindahan kubur yang telah ditetapkan JAIS.
Pada Isnin, sebanyak 27 daripada 90 kubur tanah perkuburan itu di sini digali dan dipindahkan bermula sekitar jam 11 pagi, bagi memberi laluan kepada projek ECRL.
Seorang waris yang ditemui di lokasi meluahkan rasa sedih kerana tidak dibenarkan masuk untuk melihat proses pemindahan kubur arwah bapanya.
Waris berkenaan turut meluahkan kekesalan akan tindakan kontraktor yang didakwa tidak menjaga adab ketika proses menanggalkan dan mengalihkan kepuk kubur.
Selain itu, waris berkenan memaklumkan laporan polis turut dibuat susulan dakwaan tidak hormat kerana langkah kubur dan ada juga individu yang sengaja membuat provokasi.
Mohammad Fahmi berkata, proses pemindahan kubur seperti itu bukan kali pertama dilakukan di Selangor.
"Untuk makluman, proses yang JAIS ada tentunya mengambil kira hukum syarak dan kemaslahatan awam juga.
"Kalau lihat dalam SOP wajib ada pegawai pemantau dari JAIS (berada di lokasi sepanjang proses pemindahan kubur terlibat)," katanya.