BANGKOK - [DIKEMAS KINI] Seorang pelakon China yang dilaporkan hilang minggu lalu berhampiran sempadan Thailand-Myanmar dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, menurut Polis Diraja Thailand.
Ketua Polis Diraja Thai, Thatchai Pitaneelaboot berkata, siasatan awal mendapati pelakon itu, Wang Xing atau dikenali sebagai Xing Xing, kemungkinan dipaksa melakukan aktiviti berkaitan sindiket penipuan dan dipaksa botakkan kepala.
"Siasatan mendapati warga China terlibat dalam kehilangan Xing Xing. Dia berjaya ditemui pihak berkuasa di Myanmar pada Selasa dan dibawa pulang dengan selamat ke Bangkok,” katanya dalam satu sidang media pada Selasa.
Pihak polis mengesyaki pelaku adalah sebahagian daripada operasi sindiket penipuan pusat panggilan, selepas mangsa mendedahkan bahawa dia dilatih selama dua hari untuk menggunakan program sembang bagi menipu individu di China, kata Thatchai.
Beliau turut mengesahkan bahawa Xing Xing berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Thailand atas bantuan mereka dalam kes itu.
"Xing Xing pada awalnya percaya bahawa dia ke Thailand untuk peluang berlakon, tetapi kemudian mendapati dirinya dipaksa menipu rakyat China yang lain,” kata Thatchai.
Beliau memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh telah dilancarkan dan pihak berkuasa mengesyaki insiden itu adalah sebahagian daripada rangkaian pemerdagangan manusia yang lebih luas.
Xing Xing dilaporkan hilang pada Jumaat lalu di wilayah Tak, utara Thailand, wilayah yang bersempadan dengan Myanmar.
Dalam pada itu, tersebar gambar terbaharu Xing Xing yang berimej botak dan semakin kurus, malah rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap apa yang berlaku kepadanya.