KOTA KINABALU - Parti Warisan hanya mahu bekerjasama dengan parti-parti tempatan yang tiada isu integriti seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Menjelaskan perkara itu, Ketua Biro Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, kenyataan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipetik di luar konteks sebenar dan telah disalah tafsir.
"Apa yang diutarakan oleh Presiden Warisan adalah pelawaan kerjasama kepada parti-parti tempatan seperti PBS, STAR dan mana-mana parti tempatan yang tidak mempunyai isu integriti di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mempunyai keberanian dan ketegasan tanpa perlu merujuk kepada pemimpin di Putrajaya.
"Keutamaan ini adalah untuk memperkukuhkan parti tempatan Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sesuai dengan dinamika politik semasa, selain Sabah sewajarnya mencontohi kebijaksanaan rakyat Sarawak memilih pemimpin mereka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata lagi, pengalaman lalu dan isu kepercayaan kerjasama dengan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diragui keikhlasannya.
"Sebagai contoh, semasa kemelut GRS-UMNO, Presiden Warisan telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan syarat Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor) keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menubuhkan parti tempatan.
"Namun, selepas Gagasan Rakyat ditubuhkan, Hajiji dan partinya itu memujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan untuk melompat parti lebih-lebih lagi setelah Parlimen meluluskan Akta Lompat Parti dan Hajiji sengaja melambat-lambatkan Akta Lompat Parti di kuatkuasakan di Sabah kerana usaha Gagasan Rakyat yang terus menarik wakil-wakil rakyat Warisan untuk menyertai Gagasan Rakyat ketika itu.
"Ini antara juga punca timbul isu kepercayaan terhadap keikhlasan Hajiji dan partinya terhadap Warisan. Tindakan ini menimbulkan persoalan besar mengenai kepercayaan dan integriti politik," jelasnya.
Mohd Azis berkata, kerjasama dengan parti nasional menggagalkan matlamat cadangan untuk menggabungkan parti tempatan Sabah nampak menarik jika tujuannya untuk menuntut hak Sabah dan mempaksikan kuasa politik kepada parti tempatan Sabah.
"Namun, apabila GRS terus mengutamakan kerjasama dengan parti nasional seperti Pakatan Harapan (PH) matlamat untuk memperjuangkan hak Sabah menjadi kabur.
"Situasi ini hanya akan menjejaskan perjuangan parti tempatan dan kepentingan rakyat Sabah," katanya.
Mengulas mengenai isu rasuah dan salah guna kuasa pula, Mohd Azis berkata, Warisan memberi fokus bagi memastikan integriti, tatakelola yang baik dan memerangi rasuah serta salah guna kuasa diutamakan.
"Menghentikan budaya 'ali baba' terhadap sumber-sumber Sabah. Gabungan parti tempatan tanpa mempertimbangkan isu-isu ini akan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negeri.
"Warisan percaya bahawa perjuangan untuk Sabah tidak boleh mengabaikan keutamaan terhadap integriti dan ketelusan dalam pentadbiran.
"Mengetepikan perkara-perkara ini akan mengakibatkan kepercayaan rakyat kepada institusi pilihan raya, demokrasi dan kuasa semak dan imbang pasti akan menipis," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Azis berkata, bagaimana Warisan boleh berkerjasama dengan parti yang sedang bertarung dengan isu integriti, rasuah dan salah guna kuasa.
"Kesimpulannya, Warisan tetap komited untuk memberikan pilihan kepada rakyat Sabah dan memastikan setiap usaha kerjasama berlandaskan integriti, tatakelola baik, serta perjuangan hak Sabah yang sebenar.
"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal menunjukkan keikhlasan dan integriti dalam kepimpinan mereka," katanya.