KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Empat pengarah dan syarikatnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tujuh pertuduhan gagal melunaskan bayaran cukai perkhidmatan lebih RM133,000 dan penalti lebih RM53,000.
Mohd Yusoff Yunus, 64, Mira Nabihah Mohd Yusoff, 29, Marini Najihah Mohd Yusoff, 24, Ahmad Afwan Mazlan, 27, selaku orang kena saman (OKS) dan Syarikat Perisai Sepadu Security Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan itu antara 2021 hingga 2024.
Bagaimanapun, OKS mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Salah seorang daripada pengarah syarikat berkenaan iaitu Marini Najihah tidak hadir ke mahkamah ketika prosiding tersebut dijalankan.
Pertuduhan bagi kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwa menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap satu pertuduhan, bagaimanapun peguam merayu agar jaminan dapat dikurangkan mengambil kira situasi kewangan OKS.
Mohd Zul Zakiqudin kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 oleh seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dikenakan ke atas OKS dan menetapkan 17 Februari depan bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu, Mohd Izwan Ismail dan Nur Zahidah Razali manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Alias.