TEMERLOH - Seorang pembantu klinik swasta yang menghadapi penyakit jantung bengkak dan berlubang sejak 2022 merayu orang ramai membantu menampung sebahagian kos pembedahannya kira-kira RM100,000.
Tidak pernah berdepan masalah jantung sejak lahir, Siti Nabilah Suhaimi, 34, yang menetap di Taman Temerloh Jaya di sini memberitahu, segalanya bermula selepas dia disahkan positif Covid-19 pada 16 Mac 2022.
Menurutnya, ketika itu dia sedang sarat mengandung dan terpaksa melakukan pembedahan untuk bersalin pada hari berikutnya selepas disahkan positif.
"Selepas melakukan pembedahan itu, saya membuat pemeriksaan sinar-X bagi melihat keadaan paru-parunya dan terkejut disahkan mengalami jantung bengkak.
"Dua bulan kemudiannya, saya turut disahkan mengalami jantung berlubang," katanya di sini pada Rabu.
Jelas Siti Nabilah, dia sering sakit dan pening kepala melampau selain mengalami tekanan darah rendah yang tidak normal.
"Saya juga selalu pitam dan tidak boleh melakukan kerja berterusan dan ini banyak menjejaskan kehidupan seharian.
"Memang gusar dan sedih tapi saya perlu teruskan hidup dan sabar berdepan ujian sebegini walaupun terkejut apabila doktor menyatakan jantung sudah berlubang sebanyak dua sentimeter," tambahnya.
Jelasnya, pihak doktor memaklumkan pembedahan perlu dilakukan jika kesihatan terus terjejas namun mengakui perlu berdepan risiko ekoran faktor usia.
Dia mengakui sedikit tertekan memikirkan kos besar yang perlu dihadapi untuk melakukan pembedahan tersebut kerana perlu membayar separuh daripada kos yang dianggarkan lebih RM65,000 hingga RM100,000.
Katanya, pada masa ini dia hanya bergantung kepada pendapatan sebagai pembantu klinik swasta.
Jelasnya, suami hanya bekerja sendiri dan perlu menampung perbelanjaan keluarga termasuk persekolahan tiga anaknya.
Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (156020527606) atas nama Siti Nabilah Suhaimi.